Perlawanan AFC Champions League Two antara Al-Jazira dan Gol Gohar mencetuskan kekecohan apabila pengadil perlawanan, Hanna Hattab, digantikan pada waktu rehat selepas timbul dakwaan bahawa beliau berada dalam keadaan tidak normal ketika mengendalikan perlawanan.
Pengadil berusia 37 tahun dari Syria itu pada awalnya bertugas mengadili pertemuan antara kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Al-Jazira, dengan wakil Iran, Gol Gohar, dalam aksi peringkat kumpulan kejohanan tersebut.
Bagaimanapun, tindakannya sepanjang separuh masa pertama menimbulkan tanda tanya apabila beliau dilihat seperti mengantuk, kurang fokus dan tidak begitu peka terhadap situasi di atas padang.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila beberapa keputusan pengadilannya dianggap mengelirukan oleh pemain dan pegawai kedua-dua pasukan.
Antara insiden paling mencuri perhatian berlaku apabila Hattab melayangkan kad kuning kepada penjaga gol Al-Jazira, Ersin Destanoglu, dalam situasi yang mengundang kebingungan pemain kedua-dua pasukan.
Ini kerana kekasaran yang berlaku di tengah padang. Dan kenapa penjaga gol yang dilayangkan kad kuning?
Lebih mengejutkan, pengurus Gol Gohar, Mehdi Rahmati, didakwa kedengaran memberitahu pegawai keempat bahawa pengadil berkenaan berada dalam keadaan mabuk.
Situasi itu menyebabkan kedua-dua pasukan mengancam untuk tidak meneruskan perlawanan sekiranya keadaan tersebut tidak ditangani.
Akhirnya, pegawai keempat mengambil alih tugas Hattab pada separuh masa kedua.
Selepas perlawanan, pengarah pasukan Gol Gohar, Heydar Afsari, mendakwa pihaknya sudah memaklumkan kepada pegawai perlawanan mengenai keadaan pengadil tersebut.
“Pengadil yang mengadili perlawanan menentang Al-Jazira tidak berada dalam keadaan normal. Malah, pemain Al-Jazira sendiri turut memberitahu kami perkara yang sama,” katanya.
Beliau turut mendakwa pemain Al-Jazira bernombor 77, Milson, sepatutnya dilayangkan kad merah selepas melakukan kekasaran kedua, tetapi pengadil sebaliknya merekodkan kad tersebut atas nama penjaga gol lawan.
Football has seen some strange moments, but this is something else. ðŸ˜
Syrian referee Hanna Hattab reportedly had to be substituted during an Asian Champions League Two fixture after allegedly showing up drunk.
At one point, he even booked a goalkeeper for a foul in midfield.… pic.twitter.com/jjuMmeohpw
— Gist Hubz (@GistHubz) November 26, 2026
Bagaimanapun, dakwaan bahawa Hattab berada di bawah pengaruh alkohol masih belum disahkan.
Laporan wartawan Oman, Issa Said, pada pagi berikutnya menyatakan bahawa masalah hilang fokus yang dialami pengadil itu mungkin berpunca daripada keadaan gula dalam darah yang terlalu rendah.
Hattab sendiri turut memuat naik kenyataan di media sosial bahawa beliau akan menjelaskan insiden tersebut secara telus selepas berkomunikasi dengan pihak berkaitan.
Untuk rekod, Hattab merupakan pengadil antarabangsa sejak 2015 dan berada dalam panel pengadil elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan 1-0 memihak kepada Al-Jazira.