Sejarah seakan berulang, namun dalam dimensi yang berbeza buat Andre Villas-Boas. Namanya sekali lagi terpahat dalam lipatan sejarah FC Porto selepas kelab gergasi Portugal itu berjaya menjulang trofi Liga Primeira musim ini.
Kejayaan manis itu menamatkan penantian Porto yang kali terakhir menjuarai saingan liga pada musim 2021/22.
Berbaki dua aksi untuk menamatkan kempen musim ini, skuad kendalian Francesco Farioli itu tidak mampu dikejar pencabar terdekat, Benfica yang ketinggalan sembilan mata.
Jika sedekad yang lalu Villas-Boas dijulang sebagai ‘si genius’ di tepi padang, kali ini beliau membuktikan bahawa sentuhan magisnya tidak terhad kepada taktikal semata-mata.
Sebaliknya peranan terbaharunya bermula 27 April 2024 melangkaui hingga ke bilik lembaga pengarah sebagai Presiden kelab.

Lebih manis, kejayaan musim ini adalah menewaskan pasukan kendalian mentornya iaitu Jose Mourinho dimana Villas-Boas pernah menjadi pembantu kepada pengurus legenda tersebut.
Evolusi Buat Andre Villas-Boas
Dunia bola sepak masih belum melupakan musim 2010/2011 yang ikonik. Ketika itu, Villas-Boas yang baru berusia 33 tahun mengejutkan dunia dengan membawa Porto memenangi kejuaraan treble dan menamatkan saingan liga tanpa sebarang kekalahan (27 menang dan tiga keputusan seri).
Kini, selepas mengambil alih tampuk kepimpinan daripada era panjang Jorge Nuno Pinto da Costa, beliau membawa visi baharu yang lebih moden namun tetap mengekalkan DNA juara yang menjadi identiti Os Dragoes.
Kejayaan ini bukan sekadar menambah koleksi trofi di muzium kelab, tetapi ia adalah pengesahan kepada revolusi yang dibawa Villas-Boas.
Beliau bukan sahaja memenangi liga, tetapi beliau sedang membina legasi baharu yang mungkin akan bertahan untuk dekad-dekad mendatang.