Pemain sayap lincah Real Madrid, Vinicius Jr tidak lagi kecewa apabila beliau telah dinobatkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) 2024.

Bintang Brazil dan Real Madrid itu menikmati musim yang menakjubkan dalam kariernya pada 2023/24 apabila beliau menjadi nadi buat Los Blancos dalam menjuarai LaLiga serta Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Baca Juga:

Sering menyerlah ketika saat-saat penting buat pasukan, Vinicius telah menjaringkan 24 gol dalam 39 penampilannya dalam semua pertandingan pada musim lalu.

Malah, beliau turut menjaringkan satu gol ketika Real Madrid menundukkan Borussia Dortmund 2-0 di Wembley dan mencipta hatrik ketika perlawanan akhir Supercopa de España bertemu Barcelona.

Vinicius Jr menjadi pemain Brazil pertama yang memenangi anugerah pemain lelaki terbaik FIFA sejak 2007, dan juga pertama dalam versi terkini sebagai The Best.

Beliau menduduki tempat pertama dalam undian mengatasi sepuluh calon lain dengan 48 mata, mengatasi pencabar terdekat iaitu pemain tengah Manchester City yang merupakan pemenang Ballon d’Or, Rodri (43 mata) dan rakan sepasukannya di Real Madrid, Jude Bellingham (37 mata).

Bagaimana pemenang Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA ditentukan?

Menurut sumber laman sesawang rasmi FIFA, Sebelas pemain telah dicalonkan awal untuk Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA, yang telah dipilih oleh panel pakar berdasarkan pencapaian mereka antara 21 Ogos 2023 hingga 10 Ogos 2024.

Dari senarai pendek ini, undian telah dibuat oleh jurulatih pasukan kebangsaan lelaki, kapten pasukan kebangsaan lelaki, wartawan bola sepak, dan peminat yang mengundi melalui laman web rasmi FIFA.

Para pengundi membuat pilihan pertama, kedua, dan ketiga mereka untuk pemenang.

Markah diberikan kepada calon berdasarkan kedudukan mereka (lima mata untuk pertama, tiga untuk kedua, dan satu untuk ketiga).

Kapten pasukan kebangsaan yang dicalonkan tidak boleh mengundi untuk diri mereka sendiri.

Pemilihan dari empat kumpulan pengundi – jurulatih, kapten, wartawan, dan peminat – masing-masing diambil kira sebanyak 25 peratus daripada jumlah undian, tanpa mengira jumlah pengundi dalam setiap kumpulan.

Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA diberikan kepada individu yang memperoleh mata terbanyak.

Jika dua finalis terikat dengan mata, anugerah akan diberikan kepada individu yang menerima pemilihan pertama terbanyak dari kumpulan pengundinya sendiri (kapten pasukan kebangsaan lelaki dalam kes ini).

Prosedur pengundian untuk Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA diawasi oleh pemerhati bebas.

Sumber