Bintang Real Madrid dan Brazil, Vinicius Junior secara terbuka mengulas mengenai kemerosotan prestasinya sejak kebelakangan ini.

Pemain sayap lincah itu tanpa berselindung mengakui bahawa dirinya kini bergelut dengan masalah keyakinan diri di pentas domestik dan antarabangsa.

Vinicius Junior Dedah Kekalahan Di Piala Dunia 2026 Jejaskan Keyakinan Dirinya
Kredit Foto: JORGE GUERRERO / AFP

Vinicius yang biasanya begitu tajam dan sentiasa mempamerkan aksi menarik kini sukar menjaringkan gol sejak kebelakangan ini ketika beliau masih cuba memproses kekecewaan emosi susulan kempen Piala Dunia yang mengecewakan.

Vinicius Junior Perlukan Semula Keyakinan Diri

Sehubungan dengan itu, Vinicius Junior sedang melalui permulaan musim yang mencabar apabila hanya menjaringkan satu gol untuk Real Madrid pada permulaan musim ini.

Bagaimanapun, beliau menemui sasaran ketika bersama skuad kebangsaan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80 untuk membantu Brazil meraih kemenangan 4-2 ke atas Australia dalam aksi persahabatan di Stadium Suncorp.

Selepas kemenangan itu, Vinicius meluahkan rasa terima kasih atas sokongan yang ditunjukkan oleh rakan-rakannya dalam skuad kebangsaan.

Penyerang itu mendedahkan bahawa Guimaraes sengaja memberi laluan kepadanya bagi membantunya mengatasi cabaran mental yang sedang dihadapinya ketika ini.

Piala Dunia 2026
Kredit Foto: Jewel SAMAD / AFP

“Bruno Guimaraes merupakan pengambil sepakan penalti kami apabila Raphinha tidak bermain dan saya fikir dia mahu mengambilnya, tetapi dia tahu bahawa saya memerlukan sedikit keyakinan ketika ini.”

“Rakan sepasukan saya tahu saya memerlukan sedikit keyakinan sekarang. Kalah dalam Piala Dunia adalah sesuatu yang sukar dan susah untuk diterima, manakala usaha untuk bangkit semula juga bukan mudah,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.

Sumber