Real Madrid akhirnya menamatkan segala spekulasi mengenai masa depan Vinícius Jr apabila mengumumkan bintang Brazil itu telah menandatangani kontrak baharu sehingga 30 Jun 2032.

Perjanjian tersebut dicapai selepas rundingan yang berlarutan lebih setahun, sekali gus menepis khabar angin bahawa Vinicius mungkin meninggalkan Santiago Bernabéu pada jendela perpindahan musim panas ini.

Menurut laporan, Real Madrid telah menambah baik tawaran kontrak mereka sebelum kedua-dua pihak mencapai persetujuan.

Vinicius sebelum ini dilaporkan menerima gaji sekitar €17.5 juta semusim, manakala kontrak baharu itu dipercayai bernilai sekitar €22 juta semusim, tidak termasuk pelbagai bonus.

Masa depan Vinicius Jr menjadi antara topik paling banyak dibincangkan peminat bola sepak sepanjang jendela perpindahan ini.

Terutama sekali apabila Arsenal turut menyatakan minat ke atas pemain tersebut dan sanggup membayar jumlah gaji yang diidamkan Vinicius Jr.

Real Madrid akhirnya berjaya mengekalkan pemain kebangsaan Brazil itu.

Sejak menyertai Real Madrid dari Flamengo pada 2018, Vinícius muncul sebagai antara pemain paling penting kelab itu. Sepanjang lapan musim, beliau telah membuat 375 penampilan, menjaringkan 128 gol dan membantu Los Blancos memenangi 14 trofi, termasuk dua gelaran Liga Juara-Juara UEFA dan tiga kejuaraan La Liga.

Pengumuman ini juga menamatkan spekulasi yang mengaitkan pemain berusia 26 tahun itu dengan beberapa kelab gergasi Eropah, termasuk Arsenal, sekali gus mengesahkan Vinícius akan terus menjadi tonggak utama Real Madrid bagi projek jangka panjang di bawah José Mourinho.