Krisis dalaman Juventus terus menjadi perhatian apabila penyerang utama pasukan, Dusan Vlahovic tampil bersuara mengenai keadaan semasa kelab yang dilihat masih belum menemui kestabilan sebenar.

Dalam tempoh setahun setengah, gergasi Serie A itu sudah menukar tiga jurulatih yang menjadi satu petanda jelas bahawa masalah mereka tidak hanya terletak pada aspek taktikal semata-mata.

Baca Juga:

Pemecatan Igor Tudor menandakan kali ketiga Juventus menukar pengurus dalam tempoh setahun setengah.

Sebelum ini, Massimiliano Allegri dipecat pada penghujung musim 2023/24 dan tempatnya diambil alih oleh Thiago Motta, sebelum Tudor pula dilantik untuk mengemudi pasukan.

Namun, tempoh singkat Tudor juga berakhir apabila Juventus membuat keputusan untuk menamatkan khidmatnya selepas prestasi pasukan terus merosot.

Menariknya, kebangkitan segera berlaku dalam perlawanan pertama tanpa beliau di bangku simpanan, skuad Bianconeri berjaya menamatkan rentetan lapan perlawanan tanpa kemenangan dengan menewaskan Udinese 3-1 pada Rabu lalu.

Susulan dengan itu, Vlahovic mengakui bahawa sudah tiba masanya semua pihak dalam kelab termasuk pemain, pengurusan dan staf kejurulatihan melihat semula kesilapan yang dilakukan.

Beliau menegaskan bahawa menuding jari kepada satu individu bukanlah jalan penyelesaian kerana setiap orang dalam pasukan memikul tanggungjawab yang sama.

Vlahovic Mahu Pemain Juventus Cermin Diri

“Kami sudah menukar tiga jurulatih dalam tempoh setahun setengah. Kami perlu cermin diri dan lihat di mana silapnya.”

“Saya rasa tidak adil untuk menyalahkan satu pihak sahaja. kami semua bertanggungjawab,” ujar Vlahovic menurut sumber laporan Goal.

“[Menentang Udinese] kami perlu menghantar isyarat dan kami sudah lakukannya, tetapi jika kami tidak meneruskannya dalam beberapa perlawanan akan datang, ia tidak akan membawa sebarang makna.”

“Kami perlu kurang bercakap dan lebih bertindak. Kami perlu kembali beraksi dengan lebih baik dan menang. Fokus saya kini hanya kepada perkara itu.”

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Mister Tudor atas segala yang telah dilakukannya, atas apa yang beliau wakili untuk Juventus dan saya doakan yang terbaik untuknya,” tambah beliau lagi.

 

Sumber