Berita dukacita untuk peminat seni tanah air apabila Tia Jinbara disahkan telah meninggal dunia.

Nama Tia Jinbara bukannya asing di bibir peminat dunia seni tanah air. Terkenal dengan suara serak basahnya di atas pentas, Tia Jinbara disahkan telah meninggal dunia kira kira 9.17 malam Rabu.

Tia Jinbara ataupun nama sebenarnya, Shamsul Bakhtiar bin Zakaria, 53 menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Shah Alam.

Allahyarham sebelum ini disahkan menderita kanser hati tahap 4. Dan allahyarham sudah menerima rawatan rapi sejak minggu lalu lagi.

Menurut BH Online, isterinya, Suzan Ahmad yang juga bekas wartawan portal berita tersebut telah melancarkan tabung untuk mengutip derma.

Ianya menampung kos rawatan pembedahan untuk pemindahan  hati suaminya di India. Tetapi hasrat itu tidak kesampaian.

Peminat setia dan rakan seperjuangan Tia Jinbara menzahirkan rasa duka di atas pemergian allahyarham.

Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga Tia Jinbara. Beliau menyampaikan ucapan takziah itu menerusi laman X yang dahulunya disebut Twitter.

Semasa hayatnya, Tia Jinbara ikonik dengan vokal yang bertenaga dalam lagu seperti Farhana, Kasihnya Laila dan banyak lagi.

Ianya pasti satu kehilangan yang besar untuk industri muzik tanah air yang kehilangan seorang vokalis yang unik serta gaya yang tersendiri.

Tia Jinbara turut pernah mewarnai pentas Gegar Vaganza beberapa tahun yang lalu.