Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengeluarkan peringatan penting kepada orang ramai supaya segera mengemas kini maklumat profil masing-masing.

Menerusi satu kenyataan media rasmi, JPJ memaklumkan bahawa langkah ini adalah selaras dengan ketetapan jabatan yang mewajibkan pengemaskinian data bagi memastikan penyampaian perkhidmatan digital dapat berjalan tanpa sebarang gangguan.

Antara butiran utama yang perlu dipastikan sentiasa terkini merangkumi:

1. Alamat tempat tinggal

2. Alamat e-mel

3. Nombor telefon

Menurut JPJ, pengemaskinian ini merupakan fasa persediaan sebelum jabatan berkenaan memperkenalkan serta meluaskan lagi ciri dan fungsi baharu dalam sistem digitalnya.

Ketersediaan maklumat yang tepat dan sah amat kritikal bagi membolehkan setiap inisiatif pendigitalan dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memudahkan pengguna mengakses pelbagai urusan JPJ dengan lebih pantas dan selamat secara dalam talian.

Bagi anda yang masih belum membuat semakan atau pertukaran maklumat, proses kemas kini boleh dilakukan menerusi saluran berikut:

1. Aplikasi mudah alih MyJPJ

2. Portal Awam JPJ

3. Hadir secara fizikal ke mana-mana kaunter JPJ yang berhampiran

“JPJ komited memperkukuh ekosistem perkhidmatan digital yang lebih cekap dan mesra pengguna, sekaligus memastikan transformasi digital Jabatan dapat dilaksanakan secara menyeluruh demi manfaat rakyat” petik kenyataan JPJ.