Pada akhir Oktober lalu, warganet terkejut apabila melihat penampilan baharu Hafiz Suip yang menggayakan rambut pendek berwarna hijau.

Beliau memuat naik beberapa keping foto penampilan baharunya itu menerusi akaun Instagram. Ternyata orang ramai terkejut melihat gaya penyanyi itu.

Baca Juga:

Bagaimanapun, Hafiz mengakui rambut hijaunya itu cumalah gimik semata-mata sahaja. Beliau menjelaskan kepada portal OhBulan tindakannya itu dalah untuk menarik perhatian wargamaya dan dalam masa yang sama mempromosikan single terbaharunya yang berjudul ‘Terus Bersinar’.

Beliau menyatakan sudah menjadi lumrah di dalam dunia hiburan masa kini untuk seseorang selebriti itu melakukan gimik sebelum melancarkan produk terbaharu mereka.

“Isu saya berambut hijau tempoh hari tu memang saya tak nafikan yang saya buat adalah untuk mendapatkan tarikan dan perhatian daripada semua orang sebab dah menjadi lumrah sekarang ini pentingnya (gimik) di media sosial itu.

“Saya mengaku dulu pun saya tak berapa aktif di media sosial. Kalau aktif pun Instagram (IG), Facebook tapi sekarang ni saya dah ada TikTok dah sebab benda tu penting untuk saya dan semua orang yang berada dalam industri untuk ‘market’ kan lagi diri kita.

“Dan kalau kita perasan, orang lebih suka perkara yang lebih sensasi ni. Saya boleh ja cakap, ‘Saya Hafiz Suip dan akan keluarkan single terbaharu saya dan sebagainya’. Tapi orang akan macam, ‘Oh okay, Hafiz Suip’, macam tu saja,” terang Hafiz.

Tambahnya lagi, beliau mengakui bahawa perbuatannya itu salah dari sudut agama namun hanya melakukannya atas dasar dirinya seorang artis yang berkecimpung dalam industri hiburan semata-mata.

“Bila saya warnakan rambut hari itu, orang jadi triggered, ‘Eh kenapa dia buat macam ni? Hari tu bukan ke dia ni Islamik?’

“Saya bukan tak sedar tetapi saya sedar perbuatan saya itu. Saya juga sedar kalau ikutkan dari segi hukum pun memang salah sebenarnya tetapi sekarang ni kita bercakap dalam konteks dunia hiburan melainkan kita duduk dalam masjid barulah kita nak cerita berkenaan agama, hukum hakam dan sebagainya.

“Saya pula dilahirkan sebagai seorang penghibur dan inilah cara saya untuk mendapatkan publisiti bagi membantu saya kekal relevan,” ujar Hafiz.

Katanya lagi, beliau tidak mahu terus selesa walaupun pernah ada nama yang besar, menang Anugerah Juara Lagu (AJL) dan sebagainya. Beliau kena juga ikut peredaran semasa kerana jika ikut style lama, nama beliau tidak akan dapatkan perhatian dan hilang daripada industri hiburan.

Sumber