Filem yang sedang rancak di pawagam ketika ini, Mechamato Movie telah berjaya menarik perhatian orang ramai untuk menonton dan mendapat keuntungan yang besar.
Mechamato Movie ialah sebuah filem komedi aksi animasi komputer Malaysia 2022 dan prekuel kepada siri animasi Mechamato: The Animated Series.
Baca Juga:
- Masa Tayangan Mechamato Movie Ditambah, Netizen Puji Tindakan Pantas Menteri Komunikasi
- Pengarah Kecewa Mechamato Movie Dianaktirikan Pawagam Tempatan, Dikurangkan Waktu Tayangan
- Raih Lebih RM12 Juta Kutipan, Mawi Jelaskan Mengapa Filem Mat Kilau Masih Belum ‘Balik Modal’
Pencipta dan pengarah siri animasi, Nizam Abdul Razak memuat naik satu hantaran di akaun Facebook miliknya yang meluahkan rasa syukurnya apabila Mechamoto Movie sudah melepasi kutipan RM20 juta.
“Alhamdulillah koleksi box office Mechamato Movie berjaya melepasi RM 20 juta selepas 2 minggu ditayangkan. Satu pencapaian yang melegakan kerana Mechamato merupakan jenama yang baharu,” tulisnya di kapsyen laman Facebook.
“Namun, selepas tolak duti hiburan sebanyak 25% dan kemudiannya dibahagi 2 dengan pihak pawagam, barulah bakinya akan diterima kami. Itupun belum tolak kos distribution dan marketing. Sekitar 1/3 dari koleksi box office sahaja yang akan diterima MONSTA,” tambahnya lagi.
Secara kasarnya, 1/3 daripada RM22.5 juta adalah sekitar RM7.5 juta sahaja yang akan diterima Monsta daripada kutipan setakat ini. Dia turut memaklumkan kos penghasilan animasi Mechamato Series dan Movie sangatlah tinggi; sekitar RM 30 juta.
Nizam turut berharap orang ramai terus menyokong dan menonton Mechamato Movie dan pada yang sudah menonton boleh ulang lagi untuk menonton bagi sokongan kepada movie tersebut.
Dia menjelaskan sukar untuk balik modal dan untung jika hanya berharap pada tayangan di Malaysia sahaja. Disebabkan itu mereka akan memberi lebih fokus kepada eksport dan tayangan diluar negara bermula 2023.
“Untuk menghasilkan karya yang berkualiti, sudah tentu kosnya tinggi. Ada beberapa perkara yang boleh diperhalusi lagi seperti peratusan duti hiburan dan insentif untuk eksport ke luar negara,” katanya.
“Duti hiburan dibawah kerajaan negeri. Mungkin mana-mana filem yang mempromosikan negeri dan negara dapat diberikan pengecualian atau pengurangan duti hiburan?”
Sementara itu, syarikat produksi, MONSTA komited untuk terus menghasilkan karya berkualiti dan sokongan orang ramai untuk menonton movie tersebut bersama rakan-rakan dan seisi keluarga.