Hanya 5,000 Penonton Berpeluang Menyaksikan Wali Secara Eksklusif Di Megastar Arena

KUALA LUMPUR, 21 SEPTEMBER 2026 — Kumpulan popular Indonesia, Wali Band, bakal kembali menemui peminat di Kuala Lumpur menerusi WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY, yang akan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 21 November 2026, jam 8.00 malam.

Dianjurkan 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture, konsert ini bakal menghimpunkan Wali bersama peminat dalam sebuah persembahan khas yang menampilkan deretan lagu popular kumpulan tersebut, selain memberikan pengalaman istimewa menerusi sebuah malam yang didedikasikan sepenuhnya buat peminat band muzik Indonesia itu.

Menariknya, konsert ini hanya dibuka kepada 5,000 penonton sahaja, menjadikan WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY sebuah pengalaman yang lebih eksklusif dan intim untuk peminat yang hadir.

Wali Band Kembali Ke Kuala Lumpur Untuk Konsert “Exclusive One Night Only”

Dengan jumlah penonton yang terhad, peminat berpeluang menikmati persembahan Wali dalam suasana yang lebih dekat dan istimewa.

Kehadiran Wali di Kuala Lumpur kali ini menyusuli penampilan mereka menerusi Konsert Wali Kembali di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei 2026, yang menyaksikan hampir 12,000 peminat hadir menyaksikan persembahan solo kumpulan berkenaan.

Konsert pada 1 Mei lalu bagaimanapun merupakan penganjuran yang berasingan oleh pihak penganjur terdahulu, manakala WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY pada November ini dianjurkan 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture.

Tidak berhenti di situ, Wali turut dijadualkan menemui peminat di selatan tanah air menerusi WALI LIVE IN JB, yang akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di EduCity Complex, Johor Bahru. Acara tersebut juga merupakan penganjuran yang berbeza daripada konsert Kuala Lumpur pada November ini.

Dengan siri pertemuan bersama peminat di beberapa lokasi di Malaysia sepanjang tahun ini, WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY menjadi satu lagi pentas yang memberi ruang kepada Wali untuk mendekati peminat menerusi persembahan secara langsung di Kuala Lumpur.

Najwa Latif Buka Tirai Persembahan

Menambahkan lagi keistimewaan konsert ini, penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif, akan tampil sebagai artis undangan khas dan membuka tirai persembahan sebelum Wali mengambil alih pentas utama.

Kehadiran Najwa Latif memberikan satu lagi tarikan kepada acara ini, selain mempertemukan dua nama daripada Malaysia dan Indonesia dalam sebuah pentas yang sama.

Penonton bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan Wali, malah akan disajikan dengan kemunculan khas Najwa Latif sebelum persembahan utama bermula.

Wali Dan Lagu-Lagu Yang Menjadi Ingatan

Sepanjang perjalanan muzik mereka, Wali dikenali menerusi lagu-lagu yang dekat dengan kehidupan dan pengalaman pendengar. Karya seperti Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat terus menjadi antara lagu yang sinonim dengan nama Wali.

Lagu-lagu tersebut bukan sahaja mempunyai tempat tersendiri dalam perjalanan Wali, malah turut menjadi sebahagian daripada memori peminat di Malaysia.

Tiket Mulai Dijual 23 September

Wali Band Kembali Ke Kuala Lumpur Untuk Konsert “Exclusive One Night Only”

Tiket bagi WALI – EXCLUSIVE ONE NIGHT ONLY akan mula dijual pada 23 September 2026, jam 12.00 tengah hari menerusi www.myticket.asia.

Tiket berharga CAT 1 – Dik (RM182 – Free Standing)

CAT 2 – Baik-Baik Sayang (482 – Numbered Seating)

CAT 3 – Doaku Untukmu Sayang (RM322 – Numebred Seating)

CAT 4 – Tobat (RM252 – Numbered Seating)

VIP – Berkah (RM782 – Numbered Seating)

VVIP – Cari Jodoh (RM2,222 – Numbered Seating).

Wali Band Kembali Ke Kuala Lumpur Untuk Konsert “Exclusive One Night Only”

Konsert yang turut menampilkan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi ini juga diharapkan dapat memberikan peluang kepada peminat untuk menikmati semula lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik mereka, secara langsung bersama Wali di atas pentas.