Memang tidak dinafikan, kondominium mewah di sekitar Kuala Lumpur mempunyai pemandangan yang cantik sekaligus menjadi buruan buat orang ramai untuk menyewa unit yang disenaraikan di dalam platform Airbnb.

Bagaimanapun, seorang wanita baru-baru ini mengadu di media sosial mengenai masalah privasi yang dicerobohi pada saban hari di kediaman kondominium yang dibelinya di kawasan eksklusif dengan pemandangan Menara Berkembar Petronas.

Video yang dimuat naik memperlihatkan keadaan fasiliti kolam renang di tingkat atas bangunan berkenaan telah dipenuhi dengan orang ramai yang merangkumi penghuni lain dan pelawat luar.

Apa yang membuatkan dia tidak senang adalah kolam renang yang patut menjadi tempat rehat buat pemilik rumah kini mulai dicampuri dengan penyewa Airbnb.

Bagi dirinya, kehadiran orang ramai ini telah mengganggu privasi mereka untuk menikmati fasiliti kolam renang dengan tenang yang dahulunya eksklusif buat para pemilik sahaja.

“Dekat rumah pun tiada privasi dah sekarang ni”, tulisnya pada kapsyen.

Video yang dikongsikan semula oleh pengguna X itu telah meraih perhatian dan majoritinya membidas wanita tersebut kerana fasiliti kolam renang itu terbuka kepada orang awam yang menginap atapun pemilik rumah di situ.

Selain itu, ada yang menegaskan wanita itu hanya membeli rumah sahaja dan bukannya keseluruhan fasiliti kolam renang untuk dibuat macam harta benda sendiri pula.

Tidak kurang juga, netizen mengandaikan jika kalau wanita itu sebenarnya hanya mahu publisiti murahan dalam menayang kemampuan dia mendiami kondominium mewah yang puratanya mencecah jutaan ringgit pada hari ini.