Dari Indonesia, kini ke Malaysia. Permainan kanak-kanak clackers yang pernah popular dan diharamkan di Amerika Syarikat pada satu masa dahulu sudah mengundang masalah kepada orang awam di Malaysia.
Baru-baru ini seorang wanita berkongsi satu video TikTok di mana cermin hadapan keretanya telah retak pecah angkara permainan lato-lato.
Baca Juga:
- Berisiko Mengundang Bahaya, Kerajaan Digesa Haramkan Permainan Lato-Lato Di Pasaran
- Pernah Jadi Mainan Paling Popular 50 Tahun Lalu, Ini Sebab Lato-Lato Diharamkan Di Amerika Syarikat
Pada awal video berkenaan wanita itu mendapati terdapat dua kesan ‘hentakan’ pada bahagian kiri cermin. Setelah mencari ‘punca’ insiden itu terjadi, didapati terdapat sebuah lato-lato ditinggalkan di bawah kereta berkenaan.
Perkongsian TikTok @y44hh itu membuatkan ramai netizen rasa tidak puas hati dan marah dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab tersebut melarikan diri selepas merosakkan harta benda orang lain.
“Mintakla haram kan benda ni,” petik caption video itu.
Ramai yang bersetuju untuk pihak berkuasa mengharamkan permainan tersebut kerana ia sangat mengganggu ketenteraman awam kerana apabila lato-lato mula dimainkan, bunyinya boleh kedengaran pada jarak yang sangat jauh.
Bayangkan bagaimana bunyi tersebut sangat mengganggu orang ramai apabila ada kanak-kanak yang bermain di dalam kawasan tertutup seperti di kedai-kedai makan dan pasar raya.
Bukan sahaja membuat ‘pencemaran bunyi’, ia juga boleh mendatangkan kecederaan. Ada netizen mendakwa hampir tercedera apabila lato-lato melayang hampir mengenai kepalanya.
Pada awal Februari lalu Presiden Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) Mohd Afiq Salim menggesa permainan lato-lato diharamkan penjualannya di pasaran kerana ia mengundang bahaya kepada kanak-kanak.
Menurut laporan, permainan berbahaya itu tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana tiada signifikan dan manfaat, serta berbahaya.