Merancang majlis raja sehari impian pastinya memerlukan pengorbanan kewangan yang bukan sedikit. Apabila angka perbelanjaan mula mencecah puluhan ribu ringgit, debaran dan tekanan itu pasti terasa.
Itulah situasi sukar yang dikongsikan oleh seorang wanita di media sosial apabila dia terpaksa mengeluarkan belanja memakan diri sebanyak RM30,000 untuk kenduri kahwinnya.
Menerusi perkongsian di X dengan identiti dirahsiakan, dia yang berusia 29 tahun berkongsi memiliki simpanan lebih RM50,000 di dalam akaun ASB dan baki selainnya ada di dalam KWSP.
Simpanan yang disangka akan kekal sampai masa kelak bagaimanapun terpaksa dikorbankan untuk majlis kenduri yang bakal berlangsung nanti.
“Saya perempuan, 29 tahun, ada simpanan KWSP RM58,000, ASB1 RM28,000, ASB2 RM22,000, kira dah okay dah kan, tapi nak kahwin kena belanja RM30,000 sebab kenduri semua pakai duit sendiri,” keluhnya.
Menurutnya, simpanan yang dibuat sudah bertahun-tahun lamanya seperti lebur begitu sahaja.

Perkongsian itu telah mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.
Ada yang membalas dengan komen dengan nada sinis berkata “baru tahu rasa jadi lelaki” memandangkan ramai pihak wanita yang mempunyai angan-angan yang tinggi untuk mengadakan majlis kenduri yang gah tetapi tidak mengira kos besar yang perlu ditanggung oleh lelaki selama ini.
Sebahagian yang lain pula menasihati wanita tersebut untuk berfikiran rasional dengan mempertimbangkan bajet majlis dalam kadar bersederhan jika merasa terbeban dengan kos mahal itu.
Bahkan, netizen percaya perbelanjaan majlis kahwin tidak seharusnya membebankan dan gunakan wang itu ke arah yang lebih bermanfaat.