Bayangkan bangun daripada tidur selepas mengalami strok — tetapi bukan sahaja tubuh anda terasa lemah, malah suara anda tiba-tiba kedengaran seolah-olah anda berasal dari tempat yang anda sendiri tak pernah pergi.
Itulah kenyataan pelik namun benar yang dialami oleh Sarah Colwill, seorang wanita British yang kini berusia 50 tahun.
Pada tahun 2010, ketika Sarah berusia 35 tahun, dia mengalami strok yang menyebabkan sesuatu yang sangat jarang berlaku: Foreign Accent Syndrome (FAS) — satu keadaan neurologi yang mengubah cara pertuturan seseorang, menjadikannya seolah-olah bercakap dalam aksen asing, lapor Daily Mail.

Dalam kes Sarah, dia tiba-tiba bercakap dengan loghat Cina, walaupun dia tidak pernah ke Asia dan tidak ada latar belakang Asia langsung.
Hidup Terbalik Dalam Sekelip Mata
Sejak daripada kes diserang strok, hidup Sarah berubah sepenuhnya.
Apa yang sepatutnya jadi tempoh pemulihan selepas strok, bertukar menjadi perjuangan harian yang panjang dan menyakitkan, bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi emosi dan sosial juga.

Dia perlu belajar semula untuk berjalan dan bertutur.
Tetapi yang paling menyakitkan ialah reaksi orang ramai terhadap dirinya.
Sarah mendedahkan dia pernah dipanggil “freak”, “memalukan keluarga”, malah mengalami diskriminasi kaum dan dicaci kononnya dia patut “balik ke negara asal”, walaupun dia adalah warga British.
Paling mengejutkan, sesetengah kumpulan agama mendakwa dia dirasuk dan memerlukan exorcism.
Tekanan yang datang daripada pelbagai arah ini membuatkan Sarah hampir berputus asa dan mengakui pernah berada di ambang pemikiran untuk menamatkan hidupnya.
“Saya tak pilih untuk bercakap begini. Ini bukan sesuatu yang saya minta. Tapi saya tetap saya,” ujar Sarah, yang kini mahu masyarakat lebih memahami keadaannya.
Dari Trauma Kepada Harapan
Walaupun mengalami stigma selama lebih 15 tahun, Sarah tetap kuat.
Dia berjaya mencapai matlamat utamanya — boleh berjalan semula dan bertutur dengan lebih baik walaupun loghatnya kekal.

Kini, fokusnya adalah pada kesihatan mental dan membina semula keyakinan diri.
Sarah mahu dunia tahu bahawa identiti seseorang bukan ditentukan oleh suara atau rupa mereka, tetapi oleh kekuatan hati dan semangat untuk terus hidup.
“Saya masih tak tahu apa sebenarnya yang berlaku atau jika ia akan berlaku semula. Tapi saya bangga saya tak mengalah,” katanya dengan nada penuh ketabahan.