Seorang wanita Malaysia yang cuba membawa masuk ke Singapura wang lebih S$20,000 (RM67,000) ditahan kerana gagal mengisytiharkan harta tersebut kepada pihak berkuasa di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 25 April.

Wanita itu memasuki Singapura dengan menaiki kereta, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam catatan Facebook pada hari Sabtu.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Pegawai telah memprofilkan kenderaan yang didaftarkan di Malaysia untuk pemeriksaan menyeluruh dan menemui timbunan mata wang yang dibungkus dalam beg plastik merah jambu, diletakkan di dalam konsol tengah kenderaan itu,” katanya sambil menambah bahawa kes ini dirujuk kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Di bawah undang-undang Singapura, pelancong yang memasuki atau meninggalkan negara itu dengan membawa mata wang fizikal dan instrumen boleh niaga – seperti cek atau borang pembawa – melebihi $20,000, atau yang setara dengannya dalam mata wang asing, dikehendaki mengemukakan laporan kepada polis.

“Keperluan laporan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memerangi pengubahan wang haram antarabangsa dan pembiayaan [aktiviti] keganasan,” kata ICA.

Kegagalan melaporkan adalah kesalahan yang membawa denda sehingga $50,000, penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.