Anak kepada hartawan terkemuka Malaysia, Tan Sri Robert Kuok, kini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan hotel mewah antarabangsa, Shangri-La Asia, lapor NST.
Dalam satu pemfailan kepada bursa saham, Shangri-La Asia hari ini mengumumkan pelantikan Kuok Hui Kwong, 47, sebagai CEO baharu kumpulan berkenaan, berkuat kuasa 1 Ogos 2025.
Pelantikan ini menjadikan beliau sebagai individu paling berkuasa dalam syarikat tersebut, menyandang dua jawatan tertinggi serentak – Chairman dan CEO.

Kuok bukanlah nama asing dalam dunia korporat.
Beliau sudah pun berkhidmat sebagai Pengerusi Shangri-La Asia sejak 2017, dan sebelum itu menyertai lembaga pengarah pada tahun 2016 sebagai pengarah eksekutif.
Beliau menggantikan Lim Beng Chee, yang bersara sebagai CEO pada penghujung 2022. Lim kini kekal dalam lembaga pengarah sebagai pengarah bukan eksekutif.
Menurut syarikat, Kuok kini menerima gaji asas bulanan sebanyak HK$576,000 – bersamaan kira-kira RM311,630, tidak termasuk bonus tahunan serta faedah persaraan.
Beliau turut memiliki pegangan langsung dan tidak langsung dalam 95.57 juta saham Shangri-La, iaitu sekitar 2.7 peratus daripada keseluruhan saham syarikat.
Daripada Harvard ke Shangri-La
Dilahirkan sebagai anak keenam daripada lapan orang adik-beradik, Kuok Hui Kwong adalah antara yang paling menonjol dalam keluarga Kuok.
Beliau merupakan graduan Harvard University dalam bidang Pengajian Asia Timur, dan pernah mengetuai SCMP Group, penerbit akhbar South China Morning Post, sebelum ia dijual kepada syarikat gergasi teknologi dari China, Alibaba, pada tahun 2016.

Namanya kini tersenarai sebagai antara 50 wanita paling berkuasa di Asia, menurut senarai Fortune Asia 2024, di mana beliau berada di tangga ke-40.
Empayar Hotel Bernilai Berbilion
Shangri-La Asia, yang diasaskan oleh Robert Kuok pada 1971 dengan pembukaan hotel pertama di Singapura, kini mengendalikan lebih 100 hotel di seluruh dunia di bawah empat jenama utama iaitu Shangri-La, Kerry, Hotel Jen dan Traders.
Daripada jumlah itu, syarikat memiliki 81 buah hotel secara langsung.

Mengikut laporan tahunan 2024, nilai bersih aset hartanah hotel Shangri-La mencecah AS$10.83 bilion.
Namun, cabaran ekonomi global masih terasa – dengan pendapatan syarikat mencatatkan peningkatan 2 peratus kepada AS$2.19 bilion, tetapi keuntungan bersih jatuh 12.3 peratus kepada AS$161.4 juta, akibat peningkatan kos operasi dan kewangan.
Meski begitu, pelantikan Kuok Hui Kwong nampaknya memberi kesan positif kepada pasaran.
Harga saham Shangri-La Asia di Bursa Singapura meningkat 2.4 peratus kepada HK$4.67 selepas pengumuman itu dibuat, walaupun ia masih menunjukkan penurunan sekitar 14 peratus sepanjang tahun ini.