Seorang wanita di Shenzhen, China, sedang merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja lebuh raya selepas anjing kesayangannya, Yi Yi, dimasak dan dimakan oleh beberapa pekerja selepas haiwan itu terlepas dari pusat jagaan haiwan peliharaan.
Insiden ini berlaku semasa cuti Tahun Baru Cina, apabila pemilik Yi Yi menyerahkan anjingnya ke Little Tail Pet Boarding Centre sebelum bercuti ke Maldives.
Malangnya, pada 29 Januari, Yi Yi yang berusia empat tahun terkejut dengan bunyi bunga api dan berjaya melarikan diri dari pusat jagaan tersebut.
Menurut laporan South China Morning Post, Yi Yi kemudiannya dilanggar oleh sebuah kereta di lebuh raya Shenzhen dan ditinggalkan di tepi jalan.
Pemiliknya, yang sangat sayangkan Yi Yi, menawarkan hadiah sebanyak 50,000 yuan (lebih RM32,000) untuk sesiapa yang dapat membantu mencarinya.
Namun, apa yang ditemui kemudian lebih menyayat hati.
Rakaman CCTV menunjukkan bahawa dua anggota lebuh raya membawa bangkai Yi Yi ke dapur syarikat mereka, di mana ia dimasak dan dimakan oleh lapan pekerja.
‘Ingatkan anjing liar’
Syarikat lebuh raya dan polis trafik mengesahkan bahawa pekerja tersebut mengambil anjing itu selepas menganggap ia anjing liar.
Seorang jurucakap syarikat lebuh raya menjelaskan bahawa pekerja mereka mengikuti prosedur dengan mengambil gambar dan memuat naiknya ke sistem syarikat.
Mereka beranggapan Yi Yi adalah anjing liar dan memutuskan untuk “menguruskan” bangkainya secara persendirian.
Syarikat lebuh raya itu telah memohon maaf atas kejadian tersebut dan berjanji akan mengambil tindakan tegas terhadap pekerja yang terlibat.
Manakala, pengurus pusat jagaan haiwan peliharaan itu menyatakan mereka bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan dan bersedia memikul tanggungjawab penuh.
Mahu Saman
Pemilik Yi Yi, yang terlalu sedih sehingga jatuh sakit, berkongsi di media sosial bahawa dia merancang untuk mengambil tindakan undang-undang.
Dia juga berhasrat untuk mendermakan sebarang pampasan yang diterima sebagai tanda penghormatan kepada Yi Yi.
“Yi Yi dilanggar kereta ketika cuba pulang ke rumah. Maafkan saya kerana tidak dapat melindungi kamu. Saya tidak akan melupakan kamu,” tulisnya dalam satu catatan media sosial.
Insiden ini telah menimbulkan kemarahan ramai netizen dan mengetengahkan isu keselamatan haiwan peliharaan serta kepentingan mematuhi peraturan keselamatan makanan.