Apabila sudah taksub kepada seseorang, kadang-kala ada peminatnya yang sanggup melakukan apa sahaja demi memuaskan hati sendiri.
Baru-baru ini, pemilik sebuah warung mee yang dikenali Pak Tam Mee Udang di Pulau Pinang berkongsi satu kisah unik di mana warungnya telah diberi review negatif oleh seorang netizen walaupun tidak pernah berkunjung ke situ.
Difahamkan review negatif itu telah ditinggalkan seorang pengguna yang hanya dikenali sebagai Nur Kasih dan mesejnya meluahkan rasa ketidak puasan hati melihat tukang masak pada ketika itu bermasam muka kepada YouTuber kesayangannya.
“Mark Weins datang kedai semalam chef muka ketat masam mencuka…orang nak tolong promosi kedaimu kot,” tulisnya pada ruangan review Googles.
Tindakan tersebut sememangnya bakal memberi kesan kepada warung itu kerana pengguna internet akan membuat carian di kemudian hari dan bakal memberi gambaran yang buruk.
Pemilik warung Pak Tam Mee Udang langsung memberi respons dengan mempertahankan tukang masaknya yang memang dedikasi dengan tugasan masakan dan merupakan pekerja terbaik di situ.
Malah, mereka memang ditugaskan di dapur dan bukannya satu keperluan untuk melayan orang atau YouTuber yang datang ke mari sebagai PR pula.
“Untuk makluman, Chef yang dimaksudkan itu merupakan pekerja terbaik kami dan memang tugas dan tanggungjawab beliau adalah untuk fokus memasak dan bukan untuk PR,” kongsinya di Facebook.
Pemilik turut mendedahkan di sebalik tabir, mereka saling bergelak ketawa kerana merasa tidak percaya dengan kehadiran YouTuber terkenal itu ke warung kecilnya.
Tambah beliau lagi, mereka juga sempat beramah mesra dengan Mark Weins dan tukang masaknya sendiri berusaha berkomunikasi dengan YouTuber tersebut walaupun mengalami kesukaran berbahasa Inggeris
Menariknya, di dalam video, Mark Weins sempat menemu ramah anak pemilik dan memuji dengan mengatakan mereka sangat baik dan mesra.
Oleh itu, beliau berharap agar Nur Kasih tidak menghukum mereka atau tukang masak mereka dengan melemparkan kata negatif sedemikian. Paling utama sekali, Mark Weins sendiri telah ‘approve’ yang makanan dijual sememangnya sedap.
Dia juga bersyukur dengan kehadiran YouTuber ini bakal membantu warung-warung kecil di Pulau Pinang untuk terus maju jaya. Mark Weins kini yang memiliki lebih 10 juta subscribes di YouTube sememangnya mampu memberi impak yang besar kepada penjaja-penjaja kecil di luar sana