Bila nak menjual di platform jualan atas talian, pasti ada sahaja cabaran yang tidak disangka-sangka seperti mana yang dialami oleh seorang wanita tempatan ini.

Seorang wanita telah berkongsi sebuah kisah ‘ngeri’ di mana tempat dia menjual pakaian sukan menjadi tempat jantan miang meminta perkara yang tidak senonoh menerusinya.

“Hidup ni keras bang. Kita nak niaga pun payah eik. Allah je mengetahui”, tulisnya pada hantaran.

Di dalam gambar tangkap layar yang dikongsikan, seorang individu yang dipercayai lelaki mahu membeli baju sukan yang dijual tetapi sempat meminta sesuatu daripada wanita itu.

Permintaan yang dimaksudkan adalah menyuruh wanita itu untuk memakai pakaian itu lalu biar dibasahi dengan peluh serta bau badannya dan barulah dijual kepada lelaki itu.

Sumber Gambar: Threads

Malah, lelaki terbabit kelihatan sanggup membayar berapa sahaja asalkan permintaannya dipenuhi. Wanita itu bagaimanapun menolak permintaan lelaki itu dan memilih untuk tidak berurusan lagi selepas itu.

Dengan nada kecewa, dia berkata semakin sukar untuk menjual baju sukan dengan aman pada tahun sebegini.

Selepas itu, dia sempat mempromosi barangan jualannya yang dijual pada harga rahmah dalam masa sama sempat berjenaka agar orang lain tidak membuat permintaan pelik-pelik sebegini sewaktu berurusan nanti.

Perkongsian wanita itu langsung mencuri perhatian netizen dan rata-ratanya membidas individu terbabit kerana sanggup meminta perkara tidak senonoh kepada orang lain demi memenuhi nafsu aneh mereka.

Sebahagian netizen turut meminta wanita itu untuk melaporkan perkara itu kepada khidmat pelanggan platform tersebut dan juga berhati-hati dengan perangai sesetengah individu berhidung belang.