Seorang wanita dari Shanghai, Meng (40), telah mencipta satu cara penipuan yang unik dan rumit dengan mengadakan majlis perkahwinan atau nikah palsu bersama seorang lelaki yang berpura-pura sebagai usahawan hartanah kaya.

Melalui tipu helah nikah palsu ini, dia berjaya menipu saudara maranya sebanyak 12 juta yuan (RM7.1 juta) dengan menjanjikan tawaran hartanah pada harga murah.

Nikah Palsu Demi Kaut Untung Besar

Menurut laporan NDTV yang memetik siaran Shanghai TV, Meng mula merancang penipuan ini selepas syarikat hartanah kecilnya gagal pada tahun 2014.

Untuk meyakinkan saudara maranya, dia mencadangkan satu perkahwinan palsu bersama Jiang, seorang pemandu yang sudah berkahwin.

Nikah Palsu
Sumber: Photo by Marc Fernandes / NurPhoto / NurPhoto via AFP – Gambar Hiasan

Meng mendakwa bahawa ibu bapanya mendesaknya untuk berkahwin, dan Jiang bersetuju dengan rancangan itu.

Mereka mengadakan majlis perkahwinan menggunakan nama samaran.

Meng kemudian memberitahu saudara maranya bahawa Jiang adalah seorang usahawan hartanah yang terlibat dalam projek pembinaan besar dan mempunyai akses kepada hartanah diskaun.

Untuk meyakinkan mereka, Meng membeli sebuah pangsapuri kecil bernilai satu juta yuan dan menjualnya kepada sepupunya dengan separuh harga.

Dia meminta sepupunya memberitahu saudara mara yang lain bahawa dia mendapat diskaun tersebut melalui “orang dalam”.

Nikah Palsu
Sumber: Photo by Hector RETAMAL / AFP – Gambar hiasan.

Meng kemudian membawa saudara maranya ke pameran hartanah dan mendakwa dia boleh menurunkan harga sebanyak 5,000 yuan per meter persegi, iaitu kira-kira 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

Sekurang-kurangnya lima saudara maranya terjebak dalam penipuan ini dan menyerahkan wang untuk membeli hartanah.

Ada antara mereka yang sanggup menjual rumah sendiri untuk “naik taraf” ke hartanah yang mereka percayai lebih baik.

Namun, selama bertahun-tahun, Meng hanya melengah-lengahkan proses dengan alasan dia memerlukan masa untuk memuktamadkan diskaun tersebut.

Rumah Sewa Disangka Kepunyaan Sendiri

Antara 2018 dan 2019, Meng menyewa pangsapuri untuk saudara maranya dan mendakwa bahawa itulah hartanah yang mereka beli.

Dia tidak memberikan sijil pemilikan, dengan alasan ia mustahil untuk diperoleh bagi hartanah diskaun.

Penipuan ini terbongkar apabila seorang mangsa menyemak dengan pemaju hartanah dan mendapati pangsapuri yang dia diami bukan miliknya.

Nikah Palsu

Seorang lagi mangsa, sepupu Meng, telah menghabiskan lebih 100,000 yuan untuk menghias pangsapuri sewa yang disangkanya miliknya.

Nikah Palsu Ke Hukuman Penjara

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman 12 tahun enam bulan penjara terhadap Meng atas kesalahan penipuan kontrak.

Jiang, yang terlibat dalam menandatangani perjanjian sewa dengan pemilik hartanah sebenar, dihukum enam tahun penjara.

Sepupu Meng, yang turut didakwa membantu Meng dan Jiang pula dihukum lima tahun penjara.