Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bakal mula mengenakan caj tambang ke atas warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas GoKL.

Menerusi satu hantaran Facebook dibuat semalam, caj tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan empat laluan di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur.

Baca Juga:

Ia melibatkan Laluan 01 (Hijau), Laluan 02 (Ungu), Laluan 03 (Merah) dan Laluan 04 (Biru).

Bagaimanapun DBKL tidak menyatakan berapakah caj tambang dan bilakah peraturan baharu itu akan dilaksanakan ke atas warga asing yang menaiki bas GoKL.

“Transaksi pembayaran adalah tanpa tunai iaitu melalui kad Touch ‘n Go, kod QR, kad kredit atau kad debit.

“Bagi warganegara yang menggunakan MyKad mempunyai sistem Touch ‘n Go dikehendaki membuat pendaftaran MyKad tersebut bagi menikmati perkhidmatan percuma.

“Perkhidmatan Bas GoKL adalah percuma bagi semua kanak-kanak yang berumur 13 tahun ke bawah,” petik pengumuman DBKL.

Kaunter pendaftaran dibuka bermula 1 Disember, Jumaat ini, dari 7 pagi-12 tengah hari & 2 petang-7 malam bertempat di tiga lokasi — Hentian Bas KLCC, Hentian Akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan Hentian Akhir Pasar Seni.

Manakala satu lagi lokasi kaunter pendaftaran akan dibuka bermula 6 Disember (setiap Rabu), dari 9 pagi-12 tengah hari & 2 petang-4 petang bertempat di Lobi Menara DBKL 1.

Sementara itu, difahamkan kira-kira 45.2% penggunaan perkhidmatan bas percuma GoKL adalah oleh warga asing. Perkara itu dilaporkan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Jalaluddin Alias kepada Dewan Negara.