Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati warga asing menyebarkan maklumat berkaitan operasi penguatkuasaan menerusi ‘WhatsApp Group’ untuk mengelak daripada ditemui pihak berkuasa.
Operasi yang dijalankan oleh JPJ Selangor bermula jam 8 pagi, 11 kenderaan mereka disita dalam Op Pemandu Warga Asing (Pewa) di sekitar Jalan Paya Jaras, Persiaran Elmina dan Kubu Gajah, Isnin lalu, petik Sinar Harian.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, sebanyak 10 motosikal pelbagai model seperti Modenas Kriss, Yamaha LC135 dan Honda EX5, serta sebuah kereta jenis Proton Waja telah disita.
Operasi tersebut turut menahan 11 penunggang warga asing yang terdiri daripada empat warga Bangladesh, empat warga Indonesia, dua warga Kemboja, dan seorang etnik Rohingya.
“Kita berjaya menahan dan menyita kenderaan warga asing yang cuba melarikan diri daripada penguatkuasaan walaupun berhadapan dengan taktik warga asing yang menyebarkan maklumat operasi menerusi grup WhatsApp,” katanya kepada Sinar Harian.
Siasatan lanjut mendapati kesemua kenderaan berkenaan disewa pada harga murah oleh warga asing terbabit bagi menjalankan urusan perniagaan harian mereka.
Ahmad Kamarunzaman menegaskan bahawa JPJ Selangor sentiasa memantau rapat setiap aduan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Sebarang aduan kesalahan lalu lintas, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan beserta butiran pengadu dan butiran aduan.