Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berjaya menahan 10 ‘doktor palsu’ lelaki warga Bangladesh  dalam satu operasi serbuan ke atas klinik warga asing di sembilan lokasi sekitar ibu negara, semalam.

Menurut laporan KOSMO!, Operasi yang dilancarkan pada pukul 11.45 pagi itu melibatkan kerjasama erat antara pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta pegawai dari Bahagian Penguatkuasa (Farmasi) KKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Taobao
HYPE
Raya Extra Meriah! 5 Dekorasi DIY Dari Taobao Wajib Ada Untuk Rumah Anda!
Baca lagi →

Doktor Palsu: Modus Operandi yang Mencurigakan

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, serbuan ini dijalankan berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan yang dikumpulkan selama dua minggu.

“Pasukan operasi berjaya menahan 10 lelaki warga Bangladesh berusia antara 31 hingga 50 tahun. Seorang daripada mereka memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) Sektor Perkhidmatan, enam orang memiliki PLKS Sektor Pembinaan, dua orang telah tinggal lebih masa, dan seorang lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan,” jelas Zakaria.

Doktor palsu
Gambar hiasan

Modus operandi yang digunakan adalah dengan menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit melalui doktor warga Bangladesh yang tidak bertauliah dan mensasarkan warga Bangladesh sahaja.

Kegiatan ini berselindung di sebalik kedai makan atau kedai runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.

Doktor Palsu: Ubat-ubatan Tidak Berdaftar dan Nilai Rampasan

Ubat-ubatan yang dijual di klinik palsu ini tidak berdaftar dan tanpa kelulusan KKM.

“Ubat-ubatan ini disyaki dibawa masuk oleh warga Bangladesh yang datang sebagai pelancong dengan bayaran sebanyak RM200 hingga RM500 setiap seorang. Bayaran rawatan dan penjualan ubat-ubatan yang dikenakan adalah sebanyak RM50 hingga RM200 bagi setiap pelanggan dan dipercayai telah beroperasi selama satu tahun,” tambah Zakaria.

Doktor palsu
Gambar hiasan

JIM telah merampas peralatan doktor palsu, ubat-ubatan, dan wang tunai sebanyak RM800 yang dipercayai hasil rawatan dan jualan ubat.

KKM turut merampas 502 jenis ubat tidak berdaftar dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM265,192.

Doktor Palsu: Tindakan Undang-undang

Warga asing tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952, Perkara 3(1) Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989, dan Perkara 7(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Doktor palsu
Gambar hiasan

Kesemua warga asing ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, dua lagi lelaki warga Bangladesh dan enam perempuan warga Malaysia telah diberi notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” kata Zakaria.