Jika dahulunya urusan parkir untuk makan di sini cukup mudah, realitinya mungkin bakal berubah buat warga tempatan selepas ini.
Begitulah ‘kerisauan’ yang melanda penduduk Shah Alam apabila lubuk makan kegemaran mereka kini mula didedahkan kepada umum.
Bermula dari satu hantaran video yang disiarkan oleh Jason, seorang pengulas makanan popular berkongsi sebuah restoran yang dipercayai telah bertapak lama di Shah Alam namun baru sahaja diketahuinya.
Digelar hidden gem dan lagenda, Restoran FC di Kompleks PKNS Shah Alam berjaya mempertahankan resipi ayam goreng rangupnya selama lebih empat dekad tanpa mengubah rasa asalnya.
Di dalam video itu, dia mencuba menu ikoniknya iaitu ayam goreng bersama bun, mash potatoes dan coleslaw yang dihidangkan di atas pinggan seperti gaya retro.
Rating yang diberikan juga tinggi iaitu 7/10 yang mana memberi gambaran bahawa Restoran FC memang menawarkan ayam goreng yang enak seperti yang diperkatakan oleh warga setempat.
@scaredtodie semua salah azleen #restoranfc #komplekspknsshahalam #friedchicken #kfc #ayamgoreng
Kalau selalunya video yang dimuat naik menerima reaksi yang positif, pada kali ini kelihatan sejumlah komentar terutamanya warga Shah Alam hanya mampu berpasrah apabila lokasi nostalgia yang dulunya menjadi rahsia kini sudah diketahui orang ramai.
Oleh itu, mereka berseloroh meminta Jason untuk memadam video tersebut kerana risau lokasi itu akan dipenuhi orang ramai sekaligus tidak berpeluang lagi buat warga tempatan untuk merasa makanan kegemaran mereka lagi.
“7/10 tu dah cukup adil Jason, sekarang padam video ni dan teruskan hidup macam biasa.”
“”Hai Jason, saya sebenarnya harap awak bagi rating kurang dari 5, supaya kitorang kat Shah Alam ni tak payah kongsi tempat ni dengan orang lain… Jangan datang sini lagi tau? Padam video ni.”
“Warga Shah Alam, jom ‘assemble’! Kita kena ‘gatekeep’ kedai ni habis-habisan.”
“Eh, kau biar betulllll hahahahahahaha! Ini memang saje nak cari gaduh ni hahahahahaha. Geng Shah Alam, jom berkumpul kat sini sekarang!”
Walaupun tanpa publisiti meluas sebelum ini, Restoran FC sememangnya sudah mempunyai kelompok peminat setia yang besar.
Bagi kebanyakan warga setempat, lokasi ini bukan sekadar tempat makan, tetapi sebahagian daripada nostalgia zaman kanak-kanak yang kualiti rasanya kekal konsisten sehingga ke hari ini.