Pemandu kenderaan dari Singapura dengan saman trafik yang tidak dibayar di Malaysia akan menghadapi tindakan penguatkuasaan sebaik sahaja sistem Permit Masuk Kenderaan (VEP) berkuat kuasa.
Jabatan Pengangkutan Jalan berkata antara 1 Oktober dan 31 Disember pada tahun ini, penguatkuasaan VEP akan berperingkat dan kenderaan asing dengan denda yang tidak dibayar masih dibenarkan masuk dan keluar dari Malaysia.
Menurut NST, jabatan akan memberi tumpuan kepada “advokasi” dalam tempoh ini.
Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2025 kelak, tindakan penguatkuasaan penuh akan dilaksanakan kepada mereka yang didapati gagal menyelesaikan hutang saman masing-masing.
Namun, pemilik kenderaan asing dengan saman tertunggak digalakkan membayar denda tertunggak mulai 1 Oktober sebelum meninggalkan Malaysia.
Penguatkuasaan sistem VEP akan membolehkan pihak berkuasa mengesan setiap kesalahan lalu lintas kereta walaupun sudah terjadi sekian lama.
Malaysia akan menguatkuasakan VEP ke atas semua kenderaan asing yang masuk dari Singapura pada 1 Oktober.
Pemilik kenderaan asing yang gagal mematuhi peraturan VEP boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.
Sebelum ini, sudah dilaporkan sejumlah 40,962,240 saman trafik dari tahun 1990 hingga Jun tahun ini masih belum dijelaskan, dengan nilai keseluruhannya mencecah RM4 bilion.
Malah, difahamkan warga Singapura paling culas membayarnya dan sering dilihat merentas ke Malaysia tanpa rasa serba salah. Dengan penguatkuasaan ini sekaligus bakal memberikan perubahan dalam memastikan mereka akan mematuhi segala undang-undang yang ditetapkan di sini.