Sebanyak 1,489 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) terhadap kenderaan berpendaftaran Singapura yang dikesan tidak memasang serta tidak mengaktifkan tag RFID Permit Kemasukan Kenderaan (VEP).
Saman berkenaan dikeluarkan sepanjang tempoh 1 Julai lalu hingga kelmarin melalui Operasi Penguatkuasaan VEP.
Memetik Buletin TV3, Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata bayaran saman berjaya dikutip hasil operasi itu mencecah jumlah RM445,800.
“Malam ini saja (malam tadi), sebanyak 15 saman dikeluarkan terhadap kenderaan berpendaftaran Singapura yang memasuki Malaysia tanpa memasang dan tidak mengaktifkan tag RFID VEP.
“Rata-rata 1,489 pemilik atau pemandu kenderaan yang kita saman, setakat ini, memberi alasan hampir sama, iaitu tidak tahu Kerajaan Malaysia sudah melaksanakan penguatkuasaan, sebaliknya ingat kita masih dalam tindakan advokasi.
“Namun, kita mengambil tindakan tegas tanpa kompromi dan tidak akan memberi amaran lagi, sebaliknya terus mengeluarkan saman serta-merta. Malah, mereka juga perlu menjelaskan saman itu dengan serta-merta,” katanya pada sidang media selepas menyertai Operasi Penguatkuasaan VEP di susur keluar BSI di sini, malam tadi.
Pemeriksaan 14,379 kenderaan berpendaftaran Singapura dibuat di luar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan sekitar daerah ini.
Memetik laporan itu lagi, Muhammad Kifli berkata, hampir 90 peratus kenderaan persendirian berpendaftaran Singapura memiliki VEP yang sudah diaktifkan.
Pada masa sama setakat 31 Julai lalu, beliau berkata, JPJ sudah mengeluarkan sebanyak 277,930 tag RFID VEP kepada pemilik kenderaan berpendaftaran Singapura meliputi kenderaan persendirian individu dan syarikat.