Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John menyifatkan penswastaan Liga Malaysia bukan satu kegagalan.

Sebaliknya pengurusan kelab perlu lebih bertanggungjawab dalam mengendalikan sesuatu pasukan.

Baca Juga:

Bagi beliau, masalah kewangan yang sering menghimpit pasukan ketika ini bukanlah disebabkan oleh penswastaan liga yang telah bermula sejak 2021.

Penswastaan Liga Malaysia
Kredit Foto: MFL

Beliau berpendapat apa yang berlaku adalah sifat ambil mudah sesetengah kelab yang tidak proaktif dalam menguruskan pasukan.

Windsor juga berharap, setiap kelab Liga Malaysia seharusnya lebih profesional dan langkah pengasingan daripada Persatuan Bolasepak Negeri (FA) kepada Kelab Bolasepak (FC) adalah tepat pada era bola sepak moden ketika ini.

Penswastaan Liga Malaysia Tak Gagal

“Saya tidak melihat penswastaan liga ini adalah satu kegagalan sebaliknya ini adalah satu proses untuk lebih bergerak ke hadapan.

“Inilah masanya untuk kelab-kelab belajar untuk memenuhi kriteria dan ketetapan yang telah AFC tetapkan. Sampai bila nak berada di takuk lama, kelab-kelab perlu lebih proaktif dan belajar tentang selok belok pengurusan kelab yang profesional.

Penswastaan Liga Malaysia
Kredit Foto: MFL

“Jangan salahkan penswastaan itu sebab tanggungjawab yang sebenar adalah di bawah pengurusan kelab itu sendiri yang perlu lebih bijak untuk menguruskan daripada pelbagai aspek.

“Peraturan dan ketetapan oleh AFC sebenarnya sama sahaja dengan liga-liga yang lain, jadi saya percaya kalau ada kelab di Liga Malaysia ini yang boleh memenuhi peraturan, kenapa ada pasukan yang tidak boleh”, jelasnya.

Terdahulu, segelintir pihak ada menyelar bahawa dasar penswastaan Liga Malaysia menjadi punca kepada beberapa kelab dihimpit masalah kewangan sehingga ada yang dalam perancangan untuk menarik diri daripada bertanding pada musim hadapan.