Wojciech Szczesny tampil memuji diri sendiri dalam satu wawancara dengan wartawan. Menurutnya, dia antara penjaga gol yang selalu cemerlang secara peribadi berdepan pemain pemain berkelas dunia walaupun pasukannya kalah.

Dia melakukannya bukan sahaja ketika bersama Barcelona, namun ketika bersama Poland dan kelab terdahulunya Juventus.

Baru baru ini dia menyelamatkan penalti Kylian Mbappe dalam kekalahan Barcelona di tangan Real Madrid pada el clasico.

Wojciech Szczesny akui dia sudah membuat persiapan rapi sebelum berdepan Mbappe untuk sepakan penalti.

“Saya banyak buat kajian. Sebelum perlawanan saya menonton 20 penalti terakhir diambil oleh dua atau tiga pengambil sepakan penalti utama Real Madrid.

“Kadangkala saya juga mengingati penalti yang mereka lakukan di dalam karier mereka. Kadangkala mereka akan mengubah sepakan mereka, sebab itu saya perlukan seberapa banyak maklumat yang mungkin sebelum perlawanan.”

Terbaru Wojciech Szczesny menyatakan dia sudah menyelamatkan penalti daripada pemain pemain berkelas dunia lain termasuk Lionel Messi dan Neymar.

Wojciech Szczesny berkata: “Saya menyelamatkan penalti Mbappe dalam perlawanan kami kalah. Saya selamatkan penalti Messi dan pasukan saya kalah.

“Saya selamatkan penalti Neymar dalam perlawanan yang pasukan saya kalah. Saya sentiasa melakukan perkara yang bagus ketika keadaan tidak memihak.”