Seorang ahli akademik, Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Anuar Ahmad menyarankan kerajaan mewujudkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ‘junior’ bagi menangani salah laku membabitkan isu disiplin pelajar.

Memetik Free Malaysia Today, beliau berpendapat kem tiga bulan itu dapat membantu mendisiplinkan semula pelajar menerusi pembentukan serta pembinaan semula karakter.

Baca Juga:

Pada masa sama program seumpama itu juga membantu menggilap potensi pelajar, membina amalan hidup menghormati orang lain serta menanam semangat untuk berjaya.

“Jika salah laku sebabnya keluarga terlalu miskin, kerajaan bantulah keluarga tersebut dengan menyalurkan bantuan supaya kehidupan keluarga tersebut menjadi lebih baik.

“Tetapi jika salah laku disebabkan oleh diri pelajar itu sendiri seperti tidak berdisiplin, melawan guru, langgar peraturan sekolah dan sebagainya, elok kerajaan wujudkan kem PLKN junior untuk bantu mendisiplinkan semula pelajar ini,” katanya.

Guru bersara berpengalaman jadi pelatih

Beliau juga mencadangkan larangan penggunaan media sosial dan permainan video sepanjang tempoh latihan tersebut, serta sesi pembelajaran itu diajar oleh guru-guru bersara yang berpengalaman.

Anuar mengakui kem itu sukar dilaksanakan dan memerlukan peruntukan, namun beliau percaya ia adalah langkah lebih baik jika dibandingkan dengan gantung sekolah dan beri amaran kepada pelajar.

“Mana lebih sukar antara bangunkan program PLKN Junior atau terpaksa bina lebih banyak pusat pemulihan dadah, penjara dan mengurus lebih banyak jenazah mangsa yang meninggal akibat salah laku pelajar? Fikirkan.

“Yang penting, ubahlah cara penyelesaian kita. Ceramah, leteran, amaran atau hukuman gantung sekolah adalah cara lama yang sudah tidak berkesan. Lakukan pendekatan dengan lebih berani untuk selamatkan masa depan pelajar ini,” katanya.