Penyanyi dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman, 51, secara rasmi dibenarkan keluar dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selepas hampir tiga tahun empat bulan menjalani rawatan di fasiliti berkenaan.
Kepulangan pelantun lagu Mimpi Laila itu disambut penuh rasa syukur oleh ahli keluarga terdekat selepas mengharungi tempoh keseluruhan selama empat tahun, lima bulan, dan sembilan hari termasuk proses perbicaraan mahkamah, petik Harian Metro.
Detik Kepulangan & Reaksi Yasin
Abang Yasin, Zain Sulaiman, memaklumkan beliau bersama isteri, adiknya, serta anak perempuan Yasin, Malaika, 18, bertolak seawal pagi untuk menjemput adiknya pada jam 10 pagi selepas dihubungi pihak hospital minggu lalu.
Sewaktu perjalanan pulang ke Kajang, Zain bertanyakan juadah pilihan untuk makan tengah hari, namun jawapan Yasin membuatkan ahli keluraga berasa terharu.
“Bila saya tanya dia nak makan apa untuk tengah hari, dia jawab dia tak nak makan apa-apa sebab dah kenyang dengan kebebasan. Itu reaksi pertamanya yang membuatkan kami terhibur dan terharu,” katanya.
Menurut beliau lagi, Yasin berada dalam keadaan fizikal yang amat sihat, bertenaga, dan emosi yang gembira. Beliau mengamalkan gaya hidup sihat sepanjang tempoh pemantauan, malah bersenam secara konsisten.
“Alhamdulillah, dia sangat sihat dan gembira. Dia memang dah mempersiapkan diri untuk keluar sejak sekian lama. Malah kalau tak silap saya, dia ada six-pack sekarang sebab rajin workout sana (berseloroh),” kata Zain.
Walaupun sudah dibenarkan pulang sepenuhnya, Yasin masih diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan susulan secara berkala di hospital pada setiap bulan.
Rancangan Masa Depan & Industri Muzik
Mengenai penglibatan semula Yasin dalam persada muzik tanah air, Zain menjelaskan fokus utama keluarga ketika ini adalah memberi ruang secukupnya untuk Yasin menyesuaikan diri dengan kehidupan seharian terlebih dahulu.
“Insya-Allah, tapi saya rasa memandangkan dia sudah lama tidak bergiat aktif iaitu empat tahun lebih, dia perlu menyesuaikan diri semula secara perlahan-lahan. Apa yang penting, dia berada dalam keadaan yang sangat baik,” katanya.