Bekas pemain pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab bakal menyertai salah satu kelab yang beraksi di Liga Korea, FC Seoul bagi menghadapi saingan musim 2024/25.

Perkara ini dikongsikan oleh Korean Football News di laman X dimana Seoul bakal mengumumkan ketibaan pemain skuad kebangsaam Jordan itu dalam masa terdekat.

Pada Oktober tahun lalu, Selangor FC mengesahkan bahawa kontrak pemain itu ditamatkan serta merta atas persetujuan bersama ekoran insiden menendang pengadil dalam aksi suku akhir kedua Piala FA antara Selangor dan Terengganu FC.

Tindakan tegas terpaksa diambil kerana Yazan menunjukkan sikap tidak profesional di atas padang dengan melakukan kekasaran terhadap pengadil utama, Mohd Hasrol Mohd Amir.

“Berikutan Prosiding Tatatertib, kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta.

“Kami di Selangor FC mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yazan Al-Arab di atas khidmat dan bakti beliau buat Red Giants sepanjang dua musim bersama dengan kelab.

“Selangor FC ingin mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depan Yazan. Terima kasih, Yazan,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.

Selepas meninggalkan Selangor, Yazan Al-Arab berhijrah ke kelab Iraq, Al-Shorta SC sebelum sekali lagi berkelana ke negara berbeza iaitu ke Qatar dengan menyertai Muaither pada Januari tahun ini.

Yazan merupakan tonggak utama skuad kebangsaan Jordan yang muncul sebagai naib juara Piala Asia 2023 selepas tewas kepada tuan rumah, Qatar dengan keputusan 3-1 pada Februari lalu.

Pemain berusia 29 tahun itu bakal beraksi bersama bekas bintang Manchester United dan Nottingham Forest iaitu Jesse Lingard.