Sering kali dapat kita lihat di media sosial segelintir netizen menghentam pihak MCMC kerana masih berlakunya masalah internet yang teruk meskipun sudah membuat aduan berulang-kali. Namun begitu, kita tidak pula mengetahui kisah dari pihak mereka dalam menyelesaikan puluhan ribu aduan pada saban hari.

Menerusi sebuah kenyataan yang ditulis oleh Pendakwah Teknologi di laman Facebook peribadinya bagi menjawab dakwaan netizen yang mengatakan orang-orang MCMC hanya makan gaji buta sahaja. Beliau menegaskan bahawa kenyataan itu adalah sangat tidak betul.

Baca Juga:

Sumber Gambar: FB Pendakwah Teknologi

Beliau dengan ikhlas menjelaskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bukanlah satu agensi yang patut dipandang rendah. Hal ini kerana beliau sendiri berpengalaman berkerjasama dengan MCMC bagi mengaudit pihak penyedia perkhidmatan internet, syarikat telekomunikasi dan pelbagai servis di negara ini.

Sudah bertahun-tahun lamanya melakukan tugasan bersama agensi tersebut, beliau akui agensi MCMC sememangnya sangat tegas apabila melakukan sesuatu terutamanya apabila melibatkan pematuhan.

Dalam menjawab persoalan mengapa masih ada lagi masalah-masalah telekomunikasi di negara kita dan isu-isu berkait yang tidak diselesaikan segera, beliau berkata pihak MCMC menerima aduan yang sangat banyak.

Malah, beliau menyatakan setakat bulan September 2022 sahaja sudah mencecah 60,000 aduan berkaitan isu servis telekomunikasi  dan internet yang telah diterima oleh pihak MCMC. Setiap aduan ini pula ditapis terlebih dahulu kerana sebahagian masalah boleh jadi berpunca dari pihak pengguna sendiri seperti kuota internet sudah habis dan seumpamanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengupas isu liputan adalah yang paling sukar diselesaikan. Hal ini kerana pihak MCMC sendiri perlu berurusan pelbagai pihak dan juga terdapat isu seperti tiada infra atau bekalan elektrik. Jadi, pemasangan tiang telekomunikasi di sesuatu kawasan bukanlah suatu perkara yang mudah.

Di samping itu, MCMC juga perlu menyelesaikan isu selain telekomunikasi seperti penipuan dalam talian, ugutan menyebar gambar peribadi dan lain-lain lagi. Oleh itu, tugas agensi MCMC sangatlah mencabar dan meliputi pelbagai perkara berkaitan teknologi.

Apa yang cuba beliau sampaikan adalah bagi menjelaskan kepada orang ramai supaya memahami apa yang dilakukan oleh pihak MCMC untuk menyelesaikan isu-isu yang dilontarkan. Jika masih ada isu yang tidak berjaya diselesaikan, ketahuilah bahawa pihak MCMC sentiasa cuba yang terbaik.