Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah pasti menjadi individu yang mampu tersenyum dengan keputusan MFL mengenai tarikh sepak mula Liga Malaysia (Liga M) 2024/25 memandangkan penglibatan tiga pemainnya mewakili skuad Bawah 23 Tahun (B-23).
Mereka adalah Muhamad Alif Zikri Zaini Anuar, Muhammad Aiman Khairul Yusni dan Muhammad Firdaus Ahmad Fuad yang kini berada di Shanghai, China bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 2 dalam persiapan ke Piala Asia B-23 2024.
Baca Juga:
- MFL Umum Liga Malaysia 2024/2025 Akan Bermula Mei
- Liga Malaysia Di Tempat Ke-5 Dengan Undian Tertinggi Untuk Muncul Dalam FIFA 20
- Jumlah Habuan Yang Diterima Pasukan Liga Super 2023
“Musim yang agak baharu untuk kita semua apabila tarikh baharu membabitkan dua tahun apabila Liga Malaysia 2024 akan tamat pada April 2025.
“Jadi saya gembira dengan tarikh baharu ini kerana sekurang-kurangnya saya ada masa lebih lama untuk melakukan persiapan dan dalam masa yang sama juga pengambilan pemain baharu juga akan dapat ditelitikan dengan betul selepas ini.
“Dan ini juga merupakan satu perkara baik untuk barisan pemain saya yang rata-ratanya muda di mana sekarang pun ada tiga pemain bersama skuad B23, jadi kalau mereka dipanggil sekali lagi tahun depan, pastinya kepulangan mereka ke pangkuan kelab akan lebih segar dan bertenaga dengan masa yang ada ini.
“Saya berpuas hati dengan kalendar baharu musim depan dan saya percaya bukan saya sahaja, tetapi ia juga akan beri kelebihan kepada kelab lain yang ada ramai pemain muda”, ujar Yusri Che Lah.
Terdahulu, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan musim baharu Liga Malaysia akan bermula pada 3-5 Mei 2024 sehingga April 2025.
MFL terpaksa melakukan sedikit perubahan pada tarikh asal sepak mula Liga Malaysia sebelum ini iaitu pada pertengahan April 2024 selepas mengambil kira beberapa faktor khususnya penglibatan pemain-pemain kelab Liga Malaysia bersama skuad senior kebangsaan, skuad bawah 23 tahun negara (B23), penyertaan kelab di Piala AFC 2023, persiapan pra-musim dalam bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perubahan terhadap perancangan asal kalendar Liga Malaysia juga terpaksa dilakukan MFL berikutan pengumuman AFC berkenaan tarikh Piala Asia B-23 2024 hanya dibuat pada 17 Mei 2023.