Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar tempoh pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilanjutkan sehingga 180 hari berbanding 45 hari pada masa ini, sebagai langkah memperkukuh tahap disiplin, daya tahan serta pembentukan jati diri dalam kalangan generasi muda.

Menurut beliau, meskipun tempoh latihan sedia ada disifatkan memadai buat masa ini, pelaksanaannya wajar ditambah baik secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya 90 hari sebelum dilanjutkan ke tempoh maksimum 180 hari pada masa hadapan, petik Malaysia Gazette.

“Kalau ianya mahu lebih mantap haruslah difikirkan supaya dapat digandakan kepada 90 hari sekurang-kurangnya atau kemudian 180 hari kerana daya tahan dikalangan wira muda ini mesti diterapkan melalui kurikulum.

“InsyaAllah 4.0 atau 5.0 nanti dan ini juga tergantung kepada sejauh mana kemampuan pihak kerajaan mahu membiayai kursus yang baik ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan Wira Muda Negara Siri 4/2026, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Kompleks Sukan Bagan Datuk, Jalan Simpang Empat di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa cadangan pelanjutan tempoh tersebut turut mengambil kira amalan pelaksanaan program khidmat negara di beberapa negara luar yang menetapkan tempoh latihan sehingga setahun.

Tambah beliau, walaupun Malaysia tidak semestinya terikat dengan acuan negara berkenaan sepenuhnya, pendekatan tersebut wajar dijadikan penanda aras dalam usaha melahirkan generasi pelapis yang berdisiplin tinggi.

“Banyak negara yang mempunyai latihan seumpama ini mengadakan latihan selama setahun. Mereka juga menjadi pegawai yang diserapkan dalam National Service sama ada pihak tentera, polis ataupun pertahanan awam.

“Kita tidak semestinya mengikuti acuan mereka tetapi boleh mencontohi negara berkenaan dan dalam jangka panjang, kita akan dapat mewujudkan suatu generasi yang berdisiplin serta mempunyai daya tahan yang kuat,” katanya.