Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF) secara rasmi mengumumkan pelantikan legenda bola sepak negara itu, Zinedine Zidane, sebagai ketua jurulatih baharu skuad kebangsaan Perancis.
Zidane menandatangani kontrak sehingga Piala Dunia 2030 bagi menggantikan Didier Deschamps, yang menamatkan khidmatnya selepas mengendalikan Les Bleus selama 14 tahun.
Pengumuman itu sekali gus menamatkan penantian panjang peminat yang sejak sekian lama mahu melihat wira Piala Dunia 1998 itu membimbing pasukan kebangsaan.
Dalam sidang media pertamanya, Zidane mengakui jawatan itu merupakan satu-satunya impian yang diinginkannya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya berasa sangat bangga. Saya berbesar hati dan pada masa sama sedar akan tanggungjawab besar yang dipikul. Saya berasa sangat teruja untuk kembali bersama pasukan Perancis,” katanya.
Bekas pengendali Real Madrid itu turut mendedahkan beliau sengaja menolak pelbagai tawaran daripada kelab-kelab besar kerana mahu menunggu peluang mengendalikan negaranya sendiri.
“Sejak empat atau lima tahun lalu, saya menerima beberapa tawaran tetapi saya menolak semuanya kerana saya hanya mahukan jawatan ini. Ia satu-satunya peranan yang saya inginkan,” jelas Zidane.
Zidane juga berjanji akan mengekalkan identiti bola sepak Perancis sambil membentuk acuan tersendiri.
𝗭𝗜𝗡𝗘𝗗𝗜𝗡𝗘 𝗭𝗜𝗗𝗔𝗡𝗘, 𝗡𝗢𝗨𝗩𝗘𝗔𝗨 𝗦𝗘́𝗟𝗘𝗖𝗧𝗜𝗢𝗡𝗡𝗘𝗨𝗥 𝗗𝗘 𝗟’𝗘𝗤𝗨𝗜𝗣𝗘 𝗗𝗘 𝗙𝗥𝗔𝗡𝗖𝗘 🐓🇫🇷 pic.twitter.com/5ocGyYETNm
— Equipe de France ⭐⭐ (@equipedefrance) July 28, 2026
“Saya mahu pasukan ini terus berkembang. Saya akan membawa idea saya sendiri, tetapi dalam masa sama menghormati apa yang telah dibina sebelum ini. Kami mempunyai generasi pemain yang luar biasa dan saya mahu mereka menikmati bola sepak serta bermain dengan cita-cita tinggi,” katanya.
Pelantikan ini menyaksikan Zidane kembali ke dunia kejurulatihan selepas meninggalkan Real Madrid pada 2021.
Sepanjang kariernya di Santiago Bernabeu, beliau memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut, dua kejuaraan La Liga serta pelbagai trofi utama lain.
Perlawanan pertama Zidane sebagai ketua jurulatih Perancis dijadual berlangsung pada aksi Liga Negara-Negara UEFA menentang Turki sebelum berdepan Itali pada jendela antarabangsa berikutnya.