Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly Lana tampil memberikan penjelasan berhubung penjualan sebidang tanah yang menjadi isu pertikaian ramai.
Menurut beliau tanah berbukit bersebelahan zoo itu tidak pernah digunakan sejak 1963, petik Harian Metro.
Zoo Negara berdepan masalah besar semasa kemuncak COVID-19 — hanya tinggal RM1 juta untuk terus memberi makan kepada ribuan haiwan yang kelaparan.
Kos makanan harian haiwan-haiwan di zoo menelan belanja antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta sebulan.
Tanpa pengunjung dan tiada pendapatan ketika COVID-19 itu menyebabkan Zoo Negara terpaksa menjual tanah itu.
“Apabila pandemik COVID-19 melanda, pihak majlis memutuskan untuk menjual tanah itu bagi mendapatkan dana untuk memberi makan haiwan, membayar gaji pekerja dan penyelenggaraan,” katanya. Rosli mengakui ketika itu pihak zoo berada dalam keadaan terdesak.
“Kami hanya ada RM1 juta dalam simpanan, sedangkan perbelanjaan bulanan antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta. Jadi, kami fikir, satu-satunya cara adalah dengan menjual tanah yang tidak digunakan itu.
“Tanah itu tidak sesuai digunakan (untuk kegunaan zoo). Keadaannya berbukit dan kawasan sekeliling ini memang berisiko tanah runtuh. Malah kelulusan pembangunan juga sukar diperoleh. Jadi, kami jual tanah itu untuk memastikan operasi zoo dapat diteruskan,” katanya.
Ketika penjualan tanah dibuat, pihak zoo ada menerima sumbangan. Sekaligus membolehkan mereka menampung kos perbelanjaan.
Kini, hasil penjualan tanah itu sudah disimpan dalam deposit tetap dan hasil keuntungan mencukupi untuk menampung keperluan asas dan kos operasi harian.