Ada pihak mencadangkan Zoo Negara dipindahkan ke ke Bagan Lalang di Sepang atau Janda Baik di Bentong kerana kesesakan di kawasan Hulu Langat.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Datuk Rosly Lana, menolak khabar angin tersebut sebagai sekadar spekulasi, sambil menegaskan bahawa institusi itu tidak mempunyai sebarang rancangan untuk berpindah.

Baca Juga:

“Kami selesa di sini. Tempat ini sudah menjadi simbol yang dikenali ramai dan mudah dikunjungi pelawat. Sejak kecil hingga dewasa, orang datang ke sini untuk mengimbau kenangan lama,” katanya kepada Free Malaysia Today.

'Kami Selesa Di Hulu Kelang' – Timbalan Presiden Respon Cadangan Zoo Negara Dipindahkan
Sumber Gambar: Facebook Datuk Rosly Lana

Pada Mac 2023, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengesahkan bahawa terdapat perbincangan mengenai pemindahan Zoo Negara susulan kadar pembangunan pesat di kawasan Hulu Kelang, termasuk di Taman Melawati dan Kemensah.

Beliau memaklumkan kepada Parlimen bahawa Janda Baik dan Bagan Lalang telah dicadangkan sebagai lokasi baharu yang berpotensi, namun rancangan itu tidak direalisasikan memandangkan Zoo Negara diuruskan oleh Persatuan Zoologi Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Rosly pula menjelaskan bahawa kos yang amat tinggi serta risiko besar dalam memindahkan ribuan haiwan menjadikan usaha itu hampir mustahil.

“Kami mempunyai sekitar 4,000 ekor haiwan. Jika dipindahkan, sekurang-kurangnya 20% daripadanya boleh mati akibat tekanan atau perubahan persekitaran. Haiwan mudah tertekan apabila dikurung atau dipindahkan dalam jarak jauh – mereka boleh berhenti makan atau jatuh sakit,” katanya.

Sedia menubuhkan Zoo Negara kedua

Walaupun beliau menolak cadangan untuk memindahkan Zoo Negara sepenuhnya, Rosly berkata idea untuk menubuhkan sebuah zoo kebangsaan kedua boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat penaja swasta yang sanggup membiayai pembinaan kemudahan baharu itu.

“Itu sesuatu yang boleh dibincangkan. Tapi pindah sepenuhnya? Tak realistik,” tegasnya.

Bagi menangani masalah sedia ada, Rosly memaklumkan bahawa Zoo Negara merancang untuk membina tempat letak kereta bertingkat bagi menampung peningkatan jumlah pengunjung, terutamanya pada hujung minggu dan cuti umum.

“Isu parkir memang cabaran utama kami. Kami sedang menunggu kelulusan untuk meneruskan projek tempat letak kereta bertingkat ini,” jelasnya.

Pengurusan dana Zoo Negara

Mengenai aspek kewangan, Rosly berkata operasi Zoo Negara disokong melalui jualan tiket, bantuan kerajaan, serta sumbangan daripada syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kerajaan menyokong projek pembangunan, manakala kami menguruskan gaji dan penjagaan haiwan. Banyak syarikat swasta juga telah tampil membantu,” tambahnya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar rakyat Malaysia terus menyokong Zoo Negara dan melihatnya sebagai lebih daripada sekadar destinasi pelancongan.

“Zoo ini bukan sekadar tempat untuk melihat haiwan – ia sebahagian daripada warisan negara kita, penuh dengan kenangan dan sejarah,” kata Rosly.