Sesuatu ujian dalam rumah tangga menguji pasangan untuk bersabar, belajar dan mengambil iktibar. Lebih lama usia perkahwinan itu, makanya banyak juga dugaan dan ujian yang menerpa.

Pelakon, Lisdawati mendedahkan sering diuji dengan sikap panas baran suaminya, Fauzi Nawawi, namun tetap bersyukur setelah 15 tahun mendirikan rumah tangga bersama Fauzi kerana ujian yang datang mengeratkan lagi hubungan suami isteri.

Baca Juga:

Menurut sumber, semasa Lisdawati mengadakan majlis ‘persandingan semula’ bersama suami baru-baru ini, dia mengatakan kesabarannya diuji lapan tahun pertama dengan sikap pemarah suaminya itu.

Tambahnya, sikap baran Fauzi sekarang semakin berkurang. Selama 15 tahun perkahwinan, 70 peratus sikap Fauzi berubah menjadi lebih tenang, kemungkinan doa seorang isteri termakbul.

“Saya tidak boleh ubah diri suami 100 peratus sebab saya sendiri pun ada kekurangan dan kelemahan. Apa yang penting kami saling menerima,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, Lisdawati berpendapat jika berlaku salah faham antara suami isteri, dia memilih untuk menyelesaikan masalah melalui mesej telefon berbanding bersemuka kerana bimbang berlaku perdebatan.

Selepas kedua-dua hati sudah sejuk, barulah mereka bersemuka untuk berbincang perbalahan atau masalah tersebut dan saling bermaaf-maafan.

Difahamkan, mereka merakam semula foto perkahwinan kerana mahukan gambar Lisdawati atau nama sebenarnya Nisdawati Nazaruddin menutup aurat.

Terdahulu, Lisdawati mendirikan rumah tangga dengan Fauzi pada 9 September 2007. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata.