Perkongsian kali ini lebih kepada tips untuk survive di Indochina berpandukan kepada pengalaman saya selama 33 hari berkelana.
1. Bawa alatan memasak
Sebagai langkah penjimatan kos, saya membawa alatan memasak yang minima iaitu satu dapur burner bersaiz kecil, kuali kecil dengan penutup yang sesuai, pinggan stainless steel dan sepasang sudu dan garpu.
Kerana gas butane tidak boleh dibawa menaiki kapal terbang, anda boleh mencari gas butane di pasaraya besar seperti Big C di Thailand.
Sebaiknya beli 2 botol di Thailand. InshaAllah cukup untuk sepanjang perjalanan selama sebulan. Di Vietnam, saya tak pasti di mana hendak membelinya, mungkin ada di kedai hardware.
2. Isu makanan halal
Saya ada membawa makanan dari Malaysia seperti mi segera, sambal udang Deliamas, kicap manis dan juga sardin. Namun, lambat laun sardin dan mi segera ni akan habis juga.
Di bandar besar atau sederhana besar seperti Bangkok, Chiang Mai dan Chiang Rai tidak menjadi masalah kerana ada tempat-tempat yang menjual makanan halal dan komuniti muslim wujud di sana.
Tetapi di pekan kecil seperti Sukhothai dan Sawankhalok adalah agak sukar mencari makanan halal melainkan anda membeli barangan mentah untuk dimasak atau satu cara lagi ialah dengan membeli makanan dalam tin halal yang boleh dicari di pasaraya besar seperti Big C dan Tesco Lotus.
Pilihan terakhir? 7 Eleven.



3. Makanan halal di Luang Prabang
Di Luang Prabang, Laos terdapat satu restoran makanan India halal yang bernama Nisha terletak di Kitsalat Road.
Tetapi jika anda hendak mencari sardin dan biskut halal seperti Oreo dan lain-lain lagi, bolehlah ke sebuah pasaraya sederhana besar yang bernama Dara Market di Kingkitsarath Road.
4. Internet
Saya menggunakan data internet sepanjang perjalanan kerana memerlukan khidmat Google Maps. Pembekal servis telekomunikasi yang saya gunakan ialah, True di Thailand, Unitel di Laos dan Viettel di Vietnam.
Saya amat berpuas hati dengan kekuatan signal ketiga-tiga pembekal kad sim ini. Gunakan Viettel di Vietnam kerana mudah untuk mendapatkan top up panggilan dan data internet. Signalnya juga kuat. Di atas gunung ganang pun masih full bar!
5. Wifi percuma
Di Vietnam amat mudah untuk mendapat wifi percuma. Hampir semua premis yang saya pergi ada menyediakan khidmat ini, restoran, hotel, hostel, hatta, gerai kayu di atas gunung pun ada wifi percuma.
Jadi, jika anda tidak terdesak untuk menggunakan internet sepanjang kembara anda, tidak perlulah membeli kad sim.


Ni rupa kedai Mr. Viet (dan rupa saya errr…)
Kedai dia dekat jer dengan stesen bas Ha Giang. Jalan kaki je tak payah nak naik XE OM (motor taxi) atau teksi.
Kalau keluar dari stesen bas Ha Giang,belok kiri dan jalan terus sampai roundabout. Ambil pukul 12 dan kedai dia depan sikiiiitt jer dari roundabout tu.

6. Beli tiket bas dengan syarikat bas
Belilah tiket bas melalui syarikat bas dan bukannya melalui agensi kerana caj perkhidmatan mereka boleh mencecah sehingga 30% dari harga asal tiket.
Jika di Luang Prabang, tiket boleh dibeli di Northern atau Southern Bus Station. Jika di Hanoi, boleh dibeli di My Dinh Bus Terminal dan jika di Ho Chi Minh City boleh dibeli di Ben Thanh Bus Station atau di Park 23/9 Bus Station, di hujung Pham Ngu Lao Street (area backpackers).
Langkah terbaik? Buat carian informasi syarikat-syarikat ini di internet yea.
7. Open tous bus ticket
Jika anda ingin mengembara dari Ho Chi Minh City ke Hanoi (atau vice versa), saya sarankan anda untuk membeli ‘Open Tour Bus Ticket’.
Ianya berkonsep multiple stops dan murah jika hendak dibandingkan dengan tiket keretapi yang kadang kadang boleh kehabisan pada musim puncak.
Saya ada mendengar rungutan backpacker dari Germany yang tidak dapat membeli tiket keretapi dari Da Nang untuk ke Nha Trang dan waktu kami mengembara ia bukan musim puncak pun.
Satu nasihat saya, cuba buat carian internet di Tripadvisor untuk maklumat lanjut. Sinhcafe dan Viet Nhat Travel adalah antara pembekal servis ini.
Hati-hati yea. Boleh jadi mimpi ngeri kalau tersilap pilih syarikat bas. Sekali lagi, buat urusan secara terus dengan syarikat bas dan bukan tour agency atau hotel. Rugi!
8. Kadar sewa motor
Kadar sewa motor sehari adalah berbeza beza di setiap tempat. Rule of thumb saya, sewa sehari motor kapcai tidak boleh melebihi USD5. Ada tempat murah dan ada tempat mahal. Negotiate, negotiate, negotiate. Sampai muka tuan punya motor dah merah baru stop. Hahaha.
9. Lesen memandu
Sebenarnya Lesen Memandu Malaysia dan Antarabangsa tidak diiktiraf di Vietnam tapi jarang sekali polis dan agensi kerajaan yang lain menahan motosikal yang ditunggang oleh pelancong asing.
Ini disebabkan masalah komunikasi dan juga Kerajaan Vietnam ingin menggalakkan industri pelancongan. Jadi apa implikasi menyewa dan memandu kenderaan di Vietnam?
Jangan sesekali terbabit dalam kemalangan kerana anda tiada perlindungan insurans dan sediakan bajet untuk ‘contingency plan’ kalau ditahan juga.
Saya tidak bernasib baik di Mui Ne apabila ditahan oleh polis yang boleh berbahasa Inggeris. Nasib badan.
Baca: 12 Perkara Penting Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Travel Ke IndoChina




10. Mohon permit
Jika anda ke Ha Giang Province, anda perlu mohon permit yang berharga lebih kurang USD10. Sepatutnya apply di Balai Polis sama ada di Dong Van atau Meo Vac tapi ramai yang tak mohon pun termasuk saya.
Hasil perbincangan dengan beberapa rakan backpackers yang menunggang motosikal, kami sebulat suara pilih alasan… “Oh… I don’t know we need permit sir” dan cakap dalam bahasa masing masing kalau di tahan hahaha.
Lagi satu sebab, dah lah lesen memandu pun tak valid, semua ni cari masalah aje. Sebab itu ramai yang mohon permit melalui hotel dan kos boleh mencecah sehingga USD15 seorang.
Kadang-kadang terfikir juga semua ini scam sebab ada hotel yang caj USD7.50 seorang untuk dua orang (USD15) jika mereka menginap satu bilik di hotel mereka. Nasib saya baik, takde sesiapa check walaupun saya amat hampir dengan Sempadan Vietnam – China.
11. Cara mudah cari guesthouse di Vietnam
Di Vietnam, kalau nak penginapan murah, cari perkataan NHA NGHI yang bermaksud guesthouse. Memang rumah sungguh pun di mana tuan rumah convert bilik jadi hotel.
Ada juga nha nghi yang memang sebiji macam hotel bajet. Harga yang saya syorkan ialah di antara VND70,000 hingga VND150,000. Jika harga untuk 1 malam lebih daripada tu baik duduk hotel 4 bintang.
12. Jangan segan tanya harga
Amalkan untuk bertanya soalan ini “Berapa harga?”, “How much?” sebelum membuat apa-apa transaksi melibatkan wang.
Saya hanya terlupa sekali di sebuah kedai kopi di Kuangsi Waterfall, Luang Prabang dan hampir dikapak RM35 untuk kopi susu cawan kertas.
Tapi ada juga tempat yang jangan ditanya iaitu ketika menahan bas di jalanan dan itulah satu-satunya bas yang ada seperti di antara Mai Chau dan Ninh Binh.
Naik dulu. Bas dah jalan baru tanya. Kalau sebelum naik bas dah tanya, dan diorang terasa hati, memang diorang blah buat tak tahu. Orang Vietnam ni bangganya tinggi. Ye lah, menang 2 perang besar. Jadi hati-hati jika hendak mengeluarkan kata-kata.
13. Rileks dan senyum
Orang muda Vietnam, lebih lebih lagi di kawasan bandar memang muka agak ketat dan default perkataan English di mulut ialah “NO” jadi jangan ambil pot sangat raut wajah bengis mereka dan perkataan “NO” tu.
Bagi diorang paham juga apa yang kita maksudkan. Kalau diorang ketat juga, blah saja dan cari orang seterusnya.
Lakukan semua ini dengan senyuman dan bersahaja. Jangan juga jadi sensitif dan jiwa tisu jika diherdik dan dikasari. Rileks. Rileks. Dan blah.
14. Jangan berhenti bersembang
Banyak dah rasanya tips yang diberi oleh mereka terdahulu untuk survive di Ho Chi Minh City, cuma saya nak tambah satu sahaja.
Di Ho Chi Minh ni memang ramai yang akan menyapa anda sambil tersenyum “Hello. How are you?” “Where are you going?”
Apa yang saya buat ialah angkat ibu jari tangan (tak kan kaki pulak) dan tunjuk sign thumb up dan cakap.. “Good. OK.” Dan JANGAN berhenti bersembang dan buat eye contact lepas cakap OK tu.
Jalan terus sambil tersenyum. 100% berhasil untuk saya. Apa-apa pun senyum dan jangan buat gaya yang menghina mereka macam mencebik muka seolah-olah mereka ni scammer. Jalan je.
15. Hati-hati dengan si pengilat kasut
Biasanya scammer diorang ni. Bukannya takde yang OK tapi kenapa nak ambil risiko? Sampai selipar pun nak dicucinya.
Saya hanya jumpa si pengilat kasut ni di Hanoi dan Ho Chi Minh City. Tempat lain tak jumpa lah pulak.
16. International plug
Power plug sama saja di Thailand, Laos dan Vietnam, iaitu ‘kaki dua’. Jadi tak perlu bawak banyak jenis adaptor.
Banyak lagi tips yang berguna boleh diberi tapi boleh je nak contact saya kalau nak tips dan panduan.
Apa apa pun, nasihat saya, paling penting kena selalu senyum, ‘happy-go-lucky attitude’ bila berinteraksi dan selalu ingat tuhan ada dan berserahlah padaNya. Kita merancang, biarlah Dia yang menentukan.
Akhir kata, teringat pesan kawan baik saya belasan tahun yang lalu. “Focus on the solution, not the problem.” Setiap masalah itu InshaAllah ada jalan penyelesaiannya.
Baca lagi: 20 Pengalaman Pahit Manis Saya Sewaktu Travel Solo Trip Indochina Selama 33 Hari