Penantian 18 bekas pemain Terengganu City FC (TCFC) yang menunggu tunggakan gaji hampir enam tahun berakhir apabila mendapat dana bantuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dana ini merupakan peruntukan khas di bawah FIFA Fund for Football Players (FFP) yang merupakan inisiatif bersama oleh FIFA dan FIFPRO untuk membantu pemain – pemain di seluruh dunia yang masih mempunyai tunggakan bayaran daripada kelab yang telah ditutup secara rasmi atau muflis.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Perkembangan itu diumumkan oleh Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) di laman sosial rasmi.

Sejumlah 18 permohonan telah diluluskan oleh FIFA, yang mewakili pemain tempatan dan merupakan bekas pemain Terengganu City FC.

Seramai 18 pemain ini terdiri daripada individu yang sebelum ini telah membuat aduan rasmi kepada PFAM dan juga telah menerima keputusan daripada Jawatankuasa Status FAM mengenai tunggakan gaji.

Secara rasminya, jumlah keseluruhan yang diterima untuk 18 pemain ini adalah USD70,200.00 (RM294,840.00) dan bayaran yang diterima adalah berbeza mengikut tunggakan masing – masing.

PFAM mengakui bahawa walaupun jumlah yang diterima oleh pemain mungkin tidak mencukupi sepenuhnya namun PFAM berharap melalui penerimaan dana ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban yang telah dipikul oleh para pemain.

“Ini merupakan tanggungjawab kita bersama dalam memastikan ekosistem bola sepak di Malaysia stabil dan kekal dalam jangka masa yang panjang.

“Sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak pihak yang terlibat khususnya Unit Undang-Undang FAM, atas bantuan mereka dalam menyediakan senarai nama dan dokumen untuk tujuan permohonan dana ini,” kata PFAM dalam kenyataan rasmi.