Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Abdul Rahim Mat memaklumkan pengoperasian sekolah di daerah Pendang dan Kota Setar akan dilaksanakan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mac 2026.

Memetik kenyataan rasmi, keputusan tersebut dibuat berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi Malaysia yang menunjukkan tahap suhu harian Tahap 2 telah direkodkan tiga hari berturut-turut bermula 26 hingga 28 Mac 2026 di kedua-dua daerah tersebut.

“selaras dengan garis panduan Kementerian Pendidikan (KPM) berkaitan pengoperasian institusi pendidikan semasa cuaca panas, pelaksanaan PdPR akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta warga sekolah sentiasa terpelihara.

“Pelaksanaan ini melibatkan keseluruhan 206 buah sekolah di bawah seliaan PPD Kota Setar dan PPD Pendang. Sepanjang tempoh pelaksanaan PdPR tersebut, sekiranya keadaan cuaca menunjukkan perubahan kepada tahap normal, maka pengoperasian sekolah secara bersemuka akan diteruskan semula pada hari berikutnya berdasarkan penilaian semasa,” jelas beliau.

PN Kedah akan terus memantau perkembangan cuaca semasa dan akan memaklumkan sebarang maklumat lanjut pengoperasian sekolah dari semasa ke semasa.

Semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan penjaga dimohon untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam memastikan kelancaran pelaksanaan PdPR demi kesejahteraan murid.