Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai 26 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Selasa, 26 Disember 2023.

Kem latihan tersebut adalah sebagai persiapan bagi menghadapi Piala Asia 2023 di Qatar, bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Baca Juga:

Berdasarkan senarai itu, Pan Gon telah mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei, November lalu.

Empat pemain baharu yang tersenarai kali ini ialah dua pemain tengah Johor Darul Ta’zim, Syamer Kutty Abba dan Natxo Insa; pemain pertahanan Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee serta penyerang Kuala Lumpur City FC, Romel Morales.

Morales adalah pemain naturalisasi baharu yang akan memperkuatkan jentera serangan skuad Harimau Malaya. Pemain kelahiran Colombia itu telah beraksi dalam Liga Malaysia sejak 2018.

Bagaimanapun, dua pemain pertahana, Sharul Nazeem Zulpakar dan Azam Azmi Murad masing-masing tidak dapat dipanggil kerana mengalami kecederaan.

Bagi saingan Piala Asia 2023 di Qatar nanti, Malaysia yang berada dalam Kumpulan E akan bertemu Jordan di Stadium Al Janoub pada Isnin, 15 Januari; Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada Sabtu, 20 Januari dan Republik Korea di Stadium Al Janoub pada Khamis, 25 Januari 2024.