Dengan nama ALLAH yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Assalamualaikum. Alhamdulillah pada 3 Mac 2017 yang lepas saya, suami dan anak kami telah berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah.

Di sebabkan banyak pertanyaan saya terima “okay tak bawak baby?” “ada tips tak bawak baby?” Maka saya dengan rendah hati berkongsi serba sedikit pengalaman kami membawa bayi kami Khalish Furqan Bin Khairulamin, 6 bulan. Semoga penulisan saya ini memberi manfaat dan semangat untuk ibubapa di luar sana.

Ya, memang saya akui agak mencabar sebenarnya. Tambahan pula Khalish Furqan seorang bayi yang dilahirkan pramatang, dan dia hanya minum susu ibu yang diperah atau yang telah disipan sejuk sahaja.

Tidak mudah sebenarnya bila menjadi seorang EPmom (ibu yang menyusukan anak dengan cara memerah susu), tapi cekalkan hati dan sentiasa istiqomah bahawa ‘Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.’ InshaAllah.

Terus terang saya akui, saya ada buat carian di internet berkaitan tips membawa bayi ke Tanah Suci. Tetapi, kebanyakan adalah kanak-kanak yang sudah melebihi setahun. Memang agak takut sebenarnya.

Tambahan pula untuk Khalish Furqan tiada perlindungan vaksin yang boleh diberikan seperti orang dewasa yang wajib mengambil Vaksin Meningococcal Quadrivalent. Tetapi, kami positif, positif dan positif. Tetapkan dalam hati agar sentiasa yakin Allah itu Maha Melindungi.

Kami bergerak pada pagi Jumaat 3/3/17. Flight 11.00 pagi. Jam 5.00 pagi kami dah tiba di KLIA. Berdekatan dengan balai berlepas ada disediakan baby room. Lengkap dengan baby cot, sofa dan langsir tertutup.

Sempat jugak pam susu sekali sementara tunggu Khalish Furqan tidur selepas mandi. Penerbangan kami dengan Saudia Airlines, masuk je kabin saya minta bassinet daripada FA. Alhamdulillah rezeki Khalish Furqan, ada bassinet. Sebolehnya pegang baby untuk minum susu setiap kali sampai masa take off dan landing untuk elak ear discomfort.

1. Barang yang perlu ada dalam flight (handcarry)

  1. Diaper bag. Pampers spare lebih. Perjalanan KL-Med 8 jam setengah. Airport Med ke hotel dalam 1 jam setengah. Saya sediakan 6 keping.
  2. Baju tukar 2 helai
  3. Tuala kecil
  4. Baby food
  5. Toys
  6. Minyak bayi Ritz ManjaQu – beli di Lazada http://www.lazada.com.my/therapeutic-baby-oil-manjaqu-by-ri untuk ketidakselesaan perut dan memudahkan bayi tidur. Ianya 100% natural menggunakan minyak-minyak pati tumbuhan.
  7. Wet tissue
  8. Hand sanitizer
  9. Susu secukupnya. Saya bawa extra susu chiller 2 botol.
  10. Cooler bag, ice brick dan pam susu. Boleh bawak masuk jangan risau (untuk ibu yang memerah susu ibu)
  11. Sabun basuh botol. Letak dalam bekas kecil. Nak cuci botol minta FA cucikan ye. Jangan cuci dalam toilet. Hygiene dan elakkan dari Rotavirus!

Senarai arangan bayi yang dibawa ke Tanah Suci

  1. Pampers. Saya bawa 2 bag. Yup banyak. Kena sentiasa pastikan baby bersih. Kat sana pampers ada jual, tetapi pek kecil dan agak mahal.
  2. Baju tidur, baju basahan, baju siang secukupnya.
  3. Selimut 3 helai
  4. Tuala 2 helai
  5. Stoking secukupnya
  6. Baby head to toe shampoo
  7. Kain napkin / sapu tangan
  8. Wet tissue
  9. Ubat demam, selsema dan batuk. Penting sangat! Ubat di sana mahal.
  10. Kool Fever
  11. Kipas angin bateri
  12. Changing mat
  13. Berus baju dan sabun baju. Sana tiada dobi self service ya. Puas pusing cari. Ada dobi biasa je caj sehelai baju 5 Riyal. Terasa rugi nak hantar baju comel-comel satu 5 Riyal. Ada berus baju boleh cuci dan jemur di rooftop (kebanyakan hotel ada sediakan tempat jemur baju).
  14. Berus botol dan sabun cuci botol. Penting ye terutama untuk EPmom! Kena pastikan botol dan pam susu sentiasa bersih. Rendam dengan air panas bila baby tak menyusu.
  15. Ritz Semurni Wonder CreamNasib baik saya bawa krim ‘magic’ ini bersama. Di sana cuaca panas dan kering, kulit Khalish jadi merah dan merekah. Juga ruam susu bertambah teruk akibat peluh.Jadi saya sapukan krim ini dan Alhamdulillah selepas beberapa hari kulit Khalish pulih seperti sediakala. Boleh beli di  Lazada.
    Selalu orang cakap sapu vaseline. Tapi saya lebih mempercayai barang organik  / natural untuk digunakan pada bayi. Product ini 100% natural.

Subuh pertama di Masjid Nabawi. Allahu. Sebak, kelu tak terkata. Cuaca agak sejuk di waktu subuh. Jadi kena pastikan ada bawa baju sejuk untuk bayi anda. Sentiasa pakaikan stoking dan bawa alas untuk letak bayi dalam masjid ya. Saya alas dengan kain selimut.

Selalunya kalau tiada ziarah di hari tersebut, selepas solat subuh kami balik hotel untuk sarapan, bagi Khalish berehat dan mandi sebelum keluar untuk solat zohor.

Tips dalam Masjid Nabawi

1. Sebolehnya jangan bagi anak anda jadi perhatian jemaah lain. Di sana ada umat dari seluruh pelusuk dunia, berbagai bangsa pelbagai negara. Kita boleh duduk di ruangan khas wanita dan kanak-kanak.

2. Dan selagi boleh sembunyikan bayi dalam tudung atau telekung anda, silakan buat. Saya pegang Khalish sementara tunggu waktu solat. Bukan apa, kebanyakan mereka tiada sensitiviti. Ada yang batuk, selsema nak jugak cium gomol Khalish.

Selagi boleh elak, saya akan bagi isyarat NO. Tambahan pula Khalish bayi pramatang.

3. Botol susu sebolehnya cari bekas untuk tutup. Tutup dengan kain pun boleh. Macam saya kata, jangan bagi jadi perhatian jemaah lain. Orang kat sana akan pandang lain macam kalau nampak bayi minum susu atau menangis.

Kalau Khalish menangis akan ada banyak tangan nak dukung Khalish. Tolak cara baik dan cuba tenangkan bayi anda.

4. Belajar untuk solat sambil mendukung bayi anda ketika keadaan sangat memerlukan seperti nangis yang berpanjangan.

5. Seelok-eloknya sebelum ke masjid bersihkan bayi, tukar pampers dan tukar baju yang bersih supaya ia tidak menjadikan kita was-was ketika sedang solat nanti.

6. Di Masjid Nabawi ada tempat menukar lampin berdekatan dengan tempat mengambil wudhu. Bawa changing mat yang kalis air dan ringan.

7. Pilih tempat yang paling hujung atau berdekatan dengan tiang atau dinding. Jadi boleh letak bayi anda di tepi dinding. Pastikan datang awal ke masjid untuk dapat tempat yang ‘strategik’.

Kunjungan ke Raudhah

8. Pertama kali menjejakkan kaki ke Raudhah. Menunggu giliran masuk ke Raudhah memang lama dan hampir give up sebab Khalish tiba-tiba meragam. Masa tu ustazah suruh ikut rombongan yang naik kerusi roda. Tapi dekat barisan untuk jemaah berkerusi roda selalunya banyak orang-orang nak curi masuk line. Sebab ruangan khas untuk kerusi roda ada karpet hijau jugak. Itulah taman-taman syurga.

9. Khalish ada orang pegangkan sementara solat sunat. Bila dapat solat di karpet hijau, pastikan kita doa sungguh-sungguh dalam sujud terakhir. Jangan expect kita boleh duduk tadah tangan berdoa lepas solat. Saya baru nak tadah tangan berdoa, kena tolak dengan penjaga di sana. Suruh beredar dan bagi orang lain solat pula. Frust tapi Alhamdulillah diberi kesempatan solat di taman-taman syurga.

10. Tips! Kaum lelaki yang bawa bayi agak mudah masuk ke Raudhah berbanding wanita. Masa diambil juga singkat. Cuba berbincang dengan suami jika dia boleh tolong bawa bayi bersama.

11. Hari terakhir di Masjid Nabawi suami bawa Khalish masuk tengok makam Rasulullah. Alhamdulillah bila penjaga tengok suami bawa Khalish terus bagi laluan untuk masuk. Allah. Bertuahnya Khalish dapat ‘jumpa’ Rasullullah. Perempuan tak boleh masuk ya.

Baca: Pengalaman Manis Dan Tip Umrah DIY Saya Selama Seminggu Di Mekah Dan Madinah

‘Labbaikallahumma Labbaik
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik
Innalhamda Wan Ni’mata
Laka Wal Mulk
Laa Syarikalak’

12. Perjalanan ke Mekah menaiki bas mengambil masa lebih kurang 6 jam. Khalish agak jemu bangun tidur bangun tidur. Sampai dekat RNR Highway cepat-cepat tukar pampers dan baju Khalish. Jangan expect RNR di sana selesa macam kita ya. Itu pentingnya bawa changing mat dan alas. Masa tu kami semua sudah dalam keadaan berihram.

13. Sampai di Mekah jam 9.00 malam. Masa tu Khalish dah meragam sebab nak bergolek atas katil. Mutawwif beri masa 1 jam untuk kami bersedia sebelum melakukan umrah. Check-in je bilik terus letak Khalish atas katil. Bukan main ceria lagi dia dapat bergolek golek.

14. Dengan 1 jam tu sempat pam susu sementara suami uruskan Khalish, tukar pampers dan baju bersih. Pentingnya bila bawa bayi atau kanak-kanak bersama suami kena saling bantu membantu. Alhamdulillah suami sangat memahami dan ringan tulang.

15. Keluar je bilik menuju lift kami terbau sesuatu. ‘Ahhh sudah. Khalish poo-poo la ni!’ Masa tu rasa macam ahhh dah la lambat mutawwif dan rombongan lain mesti dah nak gerak. Al-maklum lah kali pertama, jadi ada gabra sikit. Tapi suami cakap sabar, sabar, sabar. Allah uji sikit je ni. Biasa lah tu. Baru lah macam relax sikit.

16. Di Tanah Suci, jaga percakapan jaga hati. Walau apa pun yang kita lalui, doa banyak-banyak minta dipermudahkan InshaAllah.

17. Umrah pertama kami, dari start tawaf sampai tahallul Khalish tidur! Tidur yang sangat-sangat lena! Bayangkan keadaan bising dan masa bertawaf tolak menolak dan berhimpit. Allah Allah. Sungguh Allah mudahkan kami.

18. Sepanjang tawaf suami yang dukung Khalish. Kami tak pakai kan carrier sebab risau Khalish kurang selesa.

19. Semasa saie pula, kami bergilir bawa Khalish. Berat tak berat pun 7 kilo jugak! Hihi. Masa saya dukung Khalish, terfikir bagaimana Siti Hajar dulu berkorban membawa Nabi Ismail dari Safar ke Marwah. Tengok muka Khalish yang lena tidur di pelukan hati jadi sebak, jadi anak yang soleh ye sayang! Selesai je saie Khalish bangun. Siap boleh senyum kat semua orang lagi. Hehe.

Tawaf sunat

Anas bin Malik mengatakan Rasulullah s.a.w bersabda “2 jenis tawaf di mana apabila seorang hamba Allah dapat melakukannya, niscaya seluruh dosanya akan diampuni seperti ketika ia dilahirkan oleh ibunya. Dua jenis tawaf itu adalah tawaf setelah solat Subuh yang selesai bersamaan dengan terbitnya matahari dan tawaf setelah solat Asar yang selesai bersamaan dengan terbenamnya matahari.”

20. Selalunya tawaf selepas solat subuh dan asar memang agak ramai orang. Tapi selepas subuh masih lagi masa tidur Khalish. Jadi setiap kali tawaf mesti dia akan tertidur. Kami cuba pakaikan carrier. Sambil duduk pun dia boleh tidur walaupun bersesak ketika tawaf. Baik anak ibu!

21. Sentiasa jaga dan pastikan barang kita selamat. Ya. Jangan rasa di Tanah Suci tiada kejadian kecurian ya. Kasut saya dicuri jemaah lain sekelip mata je! Nasib dapat balik bila ada jemaah Ukraine yang solat sebelah saya nampak dan mereka lah yang tolong dapatkan kasut saya kembali.

22. Seeloknya barangan yang sangat berharga seperti telefon bimbit dan duit letak dalam beg silang yang sentiasa berada di tubuh kita.

23. Juga, barangan lain letak dalam bag dan terus zip selepas digunakan. Saya tak lupa kejadian botol susu Khalish dicuri orang. Ini betul-betul berlaku depan mata saya. Pelik!

24. Di Mekah, saya tidak mandikan Khalish agak lama kerana air paip di sana asalnya air laut yang diproses. Boleh buat kulit bertambah kering.

Ziarah

25. Biasanya ziarah tidak mengambil masa yang lama. Lepas subuh sehingga sebelum zohor dah balik. Untuk Epmom, boleh bawak pam susu incase terasa nak pam.

Khas untuk ibu yang menyukan anak dengan cara memerah

26. Teruskan rutin mengepam seperti biasa. Minta bantuan suami ketika dalam penerbangan atau bas. Kebiasaanya sebelum keluar solat di masjid saya akan siap-siap pam susu untuk Khalish.

27. Sepanjang di Madinah atau Mekah saya tidak pernah lagi membawa pam ke Masjid. Bila anda di sana InshaAllah anda boleh rancang rutin mengepam anda.

Jangan risau. Sentiasa berniat dalam hati supaya Allah memudahkan perjalanan kita sebagai EPmom dan semoga bayi kita akan dapat susu yang mencukupi sepanjang tempoh penyusuan InshaAllah!

Stok susu ibu (EBM)

28. Di KLIA saya cuma bawa 2 botol stok EBM (lebih 100ml setiap satu) dan Alhamdulillah selepas budi bicara dan jasa baik pihak kastam Malaysia mereka membenarkan saya membawa EBM tersebut ke dalam kabin.

29. Saya turun di Madinah, tiada apa-apa masalah dengan pihak kastam dan juga perjalanan pulang melalui Jeddah juga tiada persoalan dari pihak kastam mereka.

30. Saya tidak pasti adakah kerana mereka nampak bayi bersama saya jadi keadaan agak mudah tetapi menurut staff rombongan, pihak kastam mereka memang agak longgar jika kita membawa air dan sebagainya masuk ke dalam kabin. Untuk bawa stok EBM ke dalam cargo tiada masalah perkhidmatan sealed ada di Airport Jeddah bayaran 20 Riyal.

Penyimpanan stok EBM di Mekah dan Madinah

31. Saya tidak terlalu risau untuk simpan terlalu banyak stok kerana bayi sentiasa bersama saya. Di hotel saya menginap juga ada menyediakan peti ais kecil di dalam bilik. Saya yakin kebanyakan hotel juga begitu.

32. Cuma saya tidak pasti jika mahu simpan EBM dalam freezer. Boleh minta bantuan pihak katering di sana kerana jemaah dari Malaysia selalunya akan ada syarikat Indonesia/Patani yang sediakan makanan di sana. Cuba minta tolong mereka. InshaAllah.

33. Tambahan: Di Airport Jeddah tiada bilik bayi. Surau di tingkat G agak luas, jadi sementara menunggu penerbangan pulang saya bawa Khalish berehat di situ.

Sejujurnya, seronok bila kita nampak bayi di depan mata sepanjang kita beribadah. Walaupun sedikit penat dan kadang kala terkejar-kejar, sentiasa berdoa semoga semuanya dimudahkan, kita dan anak diberi kesihatan yang baik, anak boleh sesuaikan diri dengan baik dan sentiasa dilindungi di mana sahaja kita berada. Niat yang baik pasti Allah akan permudahkan. Yakin!

Terima kasih kerana sudi membaca.

Baca lagi: Inilah Pengalaman Manis Dan Cabaran Sewaktu Saya Tunaikan Umrah Bersama Anak Kecil