Manchester United secara rasmi telah memecat pengurus, Erik ten Hag, apabila prestasi kelab di Old Trafford itu merosot sehingga menduduki tangga ke-14 selepas sembilan perlawanan.
Jawatan itu kembali kosong dan membuka peluang kepada jurulatih baharu untuk mencuba nasib dalam pekerjaan yang paling sukar di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Baca Juga:
- RASMI: Manchester United Pecat Erik Ten Hag
- West Ham Malukan Manchester United
- Peminat Ceroboh Bilik Persalinan Manchester United Letak Alat Perakam
Sejak Alex Ferguson berundur pada 2013, juara Inggeris 20 kali itu tidak memenangi kejuaraan liga walaupun beberapa nama besar seperti Louis van Gaal dan Jose Mourinho telah mengambil alih.
Agensi berita antarabangsa, Reuters menyenaraikan lima calon yang sesuai untuk menggantikan tempat Ten Hag berdasarkan pengalaman dan kejayaan mereka dalam karier bola sepak.
Ruben Amorim
Pengendali kelab Portugal, Sporting Lisbon muncul antara calon utama menggantikan Ten Hag selepas United membuka rundingan dengan juara Liga Primeira itu untuk khidmat bekas pemain Benfica berusia 39 tahun itu, lapor Sky News.
Amorim membantu Sporting mencapai kejuaraan pada 2021, menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 19 tahun, sebelum memenangi kejuaraan kedua musim lalu.
United sanggup membayar klausa pelepasan 10 juta euro kerana jurulatih itu masih di bawah kontrak dengan kelab Portugal tersebut sehingga 2026, kata laporan itu.
Ketika ini Sporting berada di tangga teratas Liga Portugal dengan rekod tanpa kalah sejak dibawah bimbingan Amorim.
Manchester United fans, here's a look at the CV of your potential new manager 👇👀 pic.twitter.com/WQh9mmypVv
— Sky Sports Premier League (@SkySportsPL) October 28, 2024
Ruud Van Nistelrooy
Bekas penyerang United itu menjadi kegemaran ramai ketika mengambil peranan sebagai penolong jurulatih musim ini.
Van Nistelrooy akan menggantikan Ten Hag secara sementara tetapi ini bukan tugas besar pertamanya sebagai jurulatih. Bekas pemain Belanda itu pernah mengendalikan PSV Eindhoven pada 2022-23 dan membantu pasuka itu berada di tempat kedua dalam Eredivisie.
Nistelrooy pernah berada di era Alex Ferguson dan telah menjaringkan 95 gol dalam 150 penampilan EPL buat United antara 2001 dan 2006 dan muncul penjaring gol terbanyak pasukan itu dalam Liga Juara-Juara dengan 35 gol.
United berharap Nistelrooy dapat mengubah nasib kelab itu dan diberi ganjaran dengan peranan tetap jika berjaya meningkatkan prestasi pasukan.
Xavi Hernandez
Selepas kerjaya cemerlang bersama Barcelona dimana beliau memenangi 25 trofi sebagai pemain tengah, Xavi berhijrah ke Qatar untuk membimbing kelab Al Sadd. Beliau berjaya menbantu Al Sadd merangkul kejuaraan liga dan beberapa piala sebelum pulang kembali ke kelab Catalan itu pada November 2021.
Barcelona ketika itu berada dalam kesusahan berikutan pemergian tonggak utama, Lionel Messi tetapi Xavi berjaya mengubah keadaan dengan skuad yang dibarisi campuran pemain berpengalaman dan remaja berbakat sebelum dia dipecat awal tahun ini selepas musim huru-hara.
Gareth Southgate
Bekas bos England itu masih belum memiliki pasukan sejak dia letak jawatan selepas kekalahan final Euro pada bulan Julai. Walaupun dia gagal memenangi trofi, dia berjaya melakukan apa yang gagal dilakukan oleh pengurus sebelum ini dalam perlawanan penting dengan skuad yang kaya dengan bakat.
Selepas generasi emas England goyah dalam kejohanan utama, skuad muda Southgate memadamkan kenangan pahit dan memberi harapan kepada negara dengan layak ke separuh akhir Piala Dunia dan naib juara dua Euro terakhir.
Walaupun kadangkala dikritik kerana terlalu pragmatik, pendekatan Southgate mungkin United perlukan selepas beberapa pengurus gagal meninggalkan jejak mereka pada pasukan yang tidak mempunyai identiti taktikal sebenar.
Thomas Frank
Jurulatih dari Denmark itu membimbing Brentford ke Liga Perdana buat kali pertama pada 2021 dan sejak itu mereka kekal berdaya saing di liga teratas dengan gaya permainan yang menarik malah berjaya menamatkan saingan dalam kelompok 10 terbaik pada musim 2022-23.
Pencapaiannya luar biasa di sebalik kekurangan kewangan Bees serta nasib malang dengan pelbagai kecederaan dan penggantungan telah mendapat pujian daripada pengurus seperti Pep Guardiola dari Manchester City, yang berkata ia hanya “persoalan masa” sebelum Frank menguruskan kelab besar Eropah.