Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mendedahkan pihaknya telah menerima aduan mengenai isu tunggakan gaji membabitkan pasukan daripada Piala Presiden Belia dan Piala Presiden.

Menurut kenyataannya dalam Harian Metro, tindakan beberapa kelab menyerahkan tanggungjawab mengendalikan pasukan Piala Belia dan Piala Presiden kepada pihak kedua antara faktor yang mendorong masalah tunggakan gaji.

Baca Juga:

Disebabkan itu, pihak kedua ‘lari’ meninggalkan kelab sekaligus membawa kepada isu tunggakan gaji yang terpaksa ditanggung oleh pemilik asal.

“Saya menerima aduan terdapat lima kelab berdepan tunggakan gaji babitkan pemain-pemain di Piala Presiden dan Piala Belia.

“Saya memandang serius perkara ini kerana kelompok pemain ini adalah pemain muda yang harus dibela dan diberi sokongan di mana mereka inilah generasi masa depan bola sepak negara.

“Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas kelab yang culas membayar gaji pemain ini. Malah ingatan juga buat kelab-kelab yang ada menyerahkan pengurusan pasukan (Piala Presiden dan Piala Belia) kepada pihak lain.

“Ini dah salah…sepatutnya ia tidak berlaku. Apabila kelab memohon lesen kebangsaan kepada FIB (First Instance Body), kelab diwajibkan menyediakan pasukan pembangunan.

“Bukan dengan cara menyerahkan pasukan kepada pihak lain. Inilah antara punca kenapa tunggakan gaji berlaku apabila pihak lain itu cuba lepas tangan,” katanya kepada Arena Metro.

Beliau turut berpendapat isu pergaduhan yang kerap berlaku dalam saingan Piala Presiden dan Piala Belia ketika ini berpunca daripada tekanan hidup dialami oleh pemain apabila tidak dibayar gaji.

“Kita kena ingat, kebanyakan pemain ini daripada golongan B-40. Apabila gaji tidak dibayar sudah tentu pemain kadang-kadang hilang pertimbangan di dalam padang.

“Sebab itu saya ambil serius soal gaji ini kerana ini adalah mata pencarian mereka dan tidak seharusnya dilayan begitu,” katanya.