Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menjangkakan lebih ramai ‘ubi muda’ dapat dicungkil daripada saingan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini.

Menurut kenyataannya dalam Arena Metro, beliau berharap lebih banyak pasukan Liga Malaysia rajin turun padang mencari bakat muda berkualiti di daerah dan kawasan kampung.

Baca Juga:

“Saya meletakkan harapan besar untuk saingan Piala Presiden dan Piala Belia kali ini agar ramai lagi bakat baharu berjaya dikesan.

“Sebenarnya ramai lagi pemain muda yang ada potensi dan boleh diberi peluang. Zaman dulu pun, ramai pemain hebat dalam skuad Harimau Malaya datangnya dari pelbagai negeri dan daerah.

“Justeru saya harap kaedah sama dapat digunakan oleh pasukan dan jangan terlalu bergantung pemain dari Sekolah Sukan kerana masih banyak lagi pemain di luar sana yang boleh diketengahkan.

“Pergilah kepelusuk negeri dan daerah untuk cari bakat baharu. Kalau tak diberi peluang, macam mana mereka nak tunjukkan kemampuan,” katanya.

Skuad B-23 Tahun
Skuad bawah 23 tahun negara. Sumber Gambar: FAM

Saingan Piala Presiden dan Piala Belia bakal membuka tirainya pada 21 dan 27 April ini sekali gus merancakkan lagi arena bola sepak negara khususnya di peringkat pembangunan.

Dua kejohanan itu merupakan platform kepada pemain berusia bawah 21 tahun dan 19 tahun untuk mempamerkan kemampuan mereka dalam saingan yang kompetitif.

Antara nama besar yang pernah dicungkil daripada saingan Piala Presiden dan Piala Belia ialah Safiq Rahim, Faisal Halim, Amri Yahyah dan Azam Azih.