Jaringan pemain sayap negara, Faisal Halim ketika menentang Korea Selatan dalam aksi peringkat kumpulan diangkat sebagai gol terbaik temasya Piala Asia 2023 di Qatar.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini menyenaraikan gol Faisal ketika perlawanan terakhir Kumpulan E menentang Korea di Stadium Al Janoub bersama tujuh lagi jaringan untuk diundi sebagai gol terbaik dalam kejohanan edisi kali ini.
Baca Juga:
- Faisal Halim Jauh Tinggalkan Bintang Asia Lain
- Gol Faisal Halim Terpilih Bagi Anugerah Jaringan Terbaik Piala Asia 2023
- Faisal Halim Dedah Perbualan Sebenar Dengan Son Heung-Min
Semakan terakhir setelah undian ditutup pada Ahad lalu menyaksikan pemain sayap Selangor itu mendapat undian sebanyak 85 peratus, jauh meninggalkan pemain lain seperti pemain Jordan, Mousa Al Tamari yang mengumpul hanya sembilan peratus undian, kapten Korea, Son Heung-min (tiga peratus), bintang Thailand, Supachok Sarachat (satu peratus) dan penyerang Iran, Sardar Azmoun (satu peratus).
Tiga lagi jaringan yang dicipta oleh pemain Jepun, Keito Nakamura, Hassan Al Haydous (Qatar) dan Abdulrahman Ghareeb (Arab Saudi) tidak menerima sebarang undian.
Sebanyak 132 gol dijaringkan dalam 51 perlawanan ketika Piala Asia berlangsung pada nisbah 2.59 setiap perlawanan. AFC memberikan peluang kepada peminat untuk mengundi jaringan mana yang menurut mereka terbaik.
Ketika aksi menentang Korea, selain Faisal Halim ada dua lagi pemain iaitu Arif Aiman dan Romel Morales turut menjaringkan gol sekaligus menghadiahkan Malaysia satu mata dalam temasya edisi kali ini.
Pasukan negara akan kembali beraksi dalam saingan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac ini dengan menentang Oman di tempat lawan dan laman sendiri.