Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri difahamkan bakal menjadi gelanggang buat skuad Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal, 25 Mac nanti.
Meskipun masih tiada pengumuman rasmi dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), tetapi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah memuat naik informasi mengenai pemilihan SSI.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Asia 2027: Harimau Malaya Bakal Beraksi Di SSI
- Stadium Sultan Ibrahim Sah Venue Rasmi Aksi Perak-JDT
- Video: Detik-Detik Penggunaan VAR Di Stadium Sultan Ibrahim
Melihatkan kepada fasiliti serta kualiti yang dimiliki, Stadium Sultan Ibrahim sememangnya berhak mendapat peluang untuk menjadi gelanggang tuan rumah buat skuad negara kendalian Peter Cklamovski itu.
Ia sebagai pilihan terbaik selain daripada Stadium Nasional Bukit Jalil. Malah, skuad Malaysia turut pernah beraksi di stadium tersebut dalam menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Turkmenistan (menang 1-0) dan Hong Kong (menang 2-0).
1) Menepati syarat atau piawaian diperlukan AFC
Untuk mengadakan mana-mana perlawanan antarabangsa, terdapat syarat atau spesifikasi ketat daripada pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang perlu dipatuhi oleh setiap pasukan tuan rumah.
Sehubungan dengan itu, SSI yang dirasmikan pada 22 Februari 2020 jelas mematuhi segala kriteria ditetapkan badan induk bola sepak Asia tersebut. Lengkap yang membawa maksud padang berkualiti dengan kemudahan bilik persalinan.

AFC turut menetapkan stadium hendaklah terletak di lokasi yang mempunyai lapangan terbang antarabangsa dalam radius 200 kilometer dan masa perjalanan tidak boleh lebih daripada 150 minit (2 jam 30 minit) antara stadium dan lapangan terbang antarabangsa.
Satu keadaan yang jelas tiada masalah kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Senai hanya kira-kira 32 kilometer daripada stadium. Selain itu, tuan rumah perlu menyediakan hotel bertaraf empat bintang kepada pasukan pelawat.
Banyak lagi syarat yang diperlukan oleh AFC dan semestinya SSI cukup bersedia untuk menjadi gelanggang buat skuad negara bersandarkan kepada fasiliti lengkap dimiliki daripada aspek pencahayaan (2,100 lux), tribun media, bilik sidang media, ‘mixed zone’ dan sebagainya.
2) Stadium Sultan Ibrahim berpengalaman luas jadi tuan rumah Liga Juara-Juara Asia (ACL)
Seperti diketahui, pengalaman SSI dalam menganjurkan perlawanan ACL melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) jelas menguatkan lagi hujah ini.
Barisan Jawatankuasa Pengelola Tempatan (LOC) pastinya sudah arif dengan pematuhan syarat ditetapkan AFC kerana ACL bukanlah calang-calang pertandingan yang perlu dianjurkan oleh mereka.
Berbekalkan fasiliti lengkap dan kepakaran tersebut, ia secara tidak langsung dapat membantu FAM untuk melancarkan perjalanan perlawanan.
3) Keadaan fasiliti dan padang di tahap terbaik
Tanpa keraguan bertepatan dengan status selaku stadium terbaik di Malaysia, kualiti padang di Stadium Sultan Ibrahim memang tiada tandingan dengan penerapan teknologi tinggi.
Hal ini memberikan gambaran jelas bahawa sekiranya beraksi dalam keadaan hujan lebat sekalipun, ia tidak menjadi masalah. Apatah lagi seperti kebiasaan pada hujung tahun, tanah air akan menghadapi hujan lebat berterusan.
Dari segi permainan pula, ia turut akan mempengaruhi persembahan pasukan kerana sebahagian besar daripada pemain skuad kebangsaan berkemungkinan akan dibarisi pemain dari JDT.
Malah, pemain warisan baharu yang akan bersama skuad negara juga akan merasai pengalaman latihan sama atau mungkin lebih baik berbanding kelab mereka di Eropah.
4) Menyerlahkan keistimewaan SSI di mata dunia
Tidak dinafikan Stadium Sultan Ibrahim sudah dikenali di seluruh dunia terutamanya ketika dianugerahkan sebagai ‘Stadium Terbaik Dunia 2020’ dalam undian awam dilakukan laman sesawang StadiumDB.com.
Ini membuktikan pasukan di Malaysia juga mampu untuk menyediakan fasiliti serta stadium bertaraf dunia.
5) Kehadiran penyokong menggalakkkan
Pada musim ini kebanyakkan stadium di Malaysia dalam saingan domestik kelihatan agak suram. Namun, rekod di SSI menyaksikan penyokong JDT amat memberangsangkan.

Sehubungan dengan itu, pola positif tersebut berkemungkinan besar akan dapat juga diterjemahkan pada aksi antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya di SSI.