Negeri Sabah sememangnya terkenal dengan makanan lautnya yang segar. Tetapi dalam masa yang sama, Sabah juga kaya dengan beberapa pilihan makanan lain yang bakal membuatkan anda tidak sabar untuk mencubanya.
Baru-baru ini kami ke Sabah dan berpeluang untuk mencuba sendiri beberapa kafe dan restoran yang terkenal di Sabah. Jadi, berikut adalah beberapa restoran yang sempat kami terjah. Pastinya ianya akan menjadi restoran pilihan buat anda yang bakal bercuti di Sabah.
1. San Da Gen Kopitiam
Untuk pengetahuan anda, San Da Gen Kopitiam yang terletak di Sandakan ini terkenal dengan UFO tart. Rasanya yang tidak terlalu manis dan lembut menjadikan ia digemari. Malah, terdapat pelbagai pilihan menu lain yang pastinya akan membuat anda terliur dan rambang mata ingin memilih mana satu untuk dinikmati.
Sentuhan dekorasi kopitiam ini yang agak vintaj membuat pelanggan yang datang seperti berada dalam era yang lain. Memang cool!
2. Ikan Bakar Pasar Sim-Sim
Rugi jika anda datang ke Sandakan tapi tidak mencuba ikan bakar di Pasar Sim-Sim ini. Pasar Sim-Sim adalah antara lokasi wajib dikunjungi kerana terdapat pelbagai gerai yang menawarkan aneka juadah ikan serta makanan laut bakar dengan harga berpatutan.
Rasa ikan bakarnya yang fresh dan dihidangkan dengan pelbagai side dishes pastinya akan menaikkan selera makan anda. Lokasinya yang terletak berhampiran perkampungan air Sim-Sim mungkin menjadi faktor makanan laut disini murah dan segar.
3. The English Tea House, Sandakan
Jika anda ingin merasai minum petang dengan pemandangan yang menakjubkan, anda boleh singgah ke English Tea House. Lokasinya terletak berhampiran Rumah Agnes Keith dan setelah anda melawat rumah tersebut, anda boleh menikmati juadah di sini.
Berkonsepkan kolonial British menjadikan The English House ini sangat menarik. Malah, jika anda berkunjung pada waktu petang, anda akan dapat melihat pemandangan matahari terbenam yang cukup indah. English Tea House ini beroperasi setiap hari dari jam 10.00 pagi – 10.00 malam.
4. Seafood Sim Sim Kau Kee, Sandakan
Tidak dinafikan bahawa Sandakan merupakan syurga makanan laut. Di restoran makanan laut Sim Sim Kau Kee, steamboat adalah menu paling special di sini. Pastinya sangat berbaloi kerana restoran ini menyediakan pelbagai pilihan makanan laut yang semestinya sangat segar.
Rugi jika anda bercuti di Sandakan dan tidak makan makanan laut. Makanan laut di Sandakan adalah lebih segar berbanding di tempat lain. Lokasi restoran ini yang terletak di perkampungan atas air pastinya memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
5. Restoran Dovist, Lahad Datu
Jika anda ke Lahad Datu dan teringin nak makan masakan cina, anda boleh ke Restoran Dovist. Menu yang menjadi hit di restoran ini ialah ‘payau’. Apa itu payau? Payau itu daging rusa, memang menjadi keistimewaan di restoran ini.
Anda pasti tertanya-tanya bagaimana rasa payau bukan? Bagi anda yang buat pertama kali ingin mencuba payau, jangan risau kerana rasanya seperti ayam dan dagingnya lembut. Restoran Dovist ini beroperasi setiap hari dari jam 6.00 pagi – 11.30 malam.
6. Nasi Kuning Restoran Haji Tamrin, Tawau
Untuk pengetahuan anda, nasi kuning adalah menu paling popular Restoran Haji Tamrin untuk dicuba jika ke Tawau. Pelbagai pilihan lauk yang boleh dipilih untuk dimakan bersama nasi kuning ini seperti ayam masak merah, ayam rendang, ayam percik dan lain-lain. Selain nasi kuning, roti kahwin juga menjadi menu tarikan disini.
Menariknya Restoran Haji Tamrin ini dibuka sejak tahun 1979. Restoran ini dibuka setiap hari dari jam 6.30 pagi – 5.00 petang kecuali pada hari Ahad yang dibuka dari jam 6.30 pagi – 3.00 petang.
Jika anda akan ke Sabah, anda wajib untuk mencuba makanan di restoran-restoran ini. Ini kerana restoran-restoran tersebut bukan sahaja menjanjikan makanan yang sedap untuk anda, tetapi pastinya akan memastikan setiap wang yang anda keluarkan berbaloi dengan apa yang ditawarkan.
Apa pendapat anda melihat makanan-makanan yang disajikan? Adakah anda terliur? Apa tunggu lagi, belilah tiket penerbangan anda ke Sabah dan rasa sendiri kelazatan makanan-makanan tersebut. Tiket ke Sabah pun sudah tidak mahal, hanya perlu rajin memburu tiket di laman web AirAsia.
Ini baru tempat makan menarik yang boleh anda serbu, belum lagi tempat menarik dan aktiviti yang anda boleh lakukan berkunjung ke Sabah. Nantikan artikel seterusnya untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai keindahan Sabah yang tidak diketahui.